Soalan

Emak saudara saya tidak menyukai menantu lelaki yang menurutnya berperangai tidak baik. Dia berusaha untuk memisahkan anak perempuan dan menantunya itu serta berhajat untuk mengadakan kenduri dengan menyembelih seekor kambing jika berjaya. Soalan saya, apakah hukum meruntuhkan rumahtangga orang dan apakah hukum berhajat sedemikian?

 

Rosmawati, Shah Alam, Selangor.
 
Jawapan:
Zahir soalan hanya mengarah kepada emak saudara, seolah-olah beliau seorang sahaja yang bersalah. Padahal yang lebih patut diberi tumpuan ialah anak perempuan dan suaminya.
Apa sahaja tindak tanduk seorang anak, hendaklah dia perhatikan terlebih dahulu sama ada tindakannya akan memperoleh keredhaan ibubapa atau sebaliknya. Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no:1899]
Seorang anak perempuan hendaklah memerhatikan terlebih dahulu sama ada bakal suaminya diredhai oleh ibubapa atau tidak. Jika sudah berkahwin, sebagaimana soalan di atas, hendaklah anak perempuan menasihati suaminya untuk memperbaiki akhlaknya dan sama-sama mencari jalan untuk memenangi keredhaan ibu. Merupakan satu tindakan yang songsang untuk mencari hukum agama ke atas ibu, padahal agama telah menetapkan: “Sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kaki (ibu)” [Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 3104]
Bagi menantu yang berakhlak kurang baik, hendaklah dia segera memperbaikinya kerana “Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik.” [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4799] Jika ibu mertua merungut dengan akhlaknya yang buruk, maka dia memang berhak untuk merungut kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan: “Sesungguhnya tidaklah sikap sopan santun terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap sopan santun) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.” [Shahih Muslim, hadis no: 2594]
Seorang ibu kadangkala mungkin salah dalam bersikap, tetapi kedudukan mereka di sisi agama amatlah tinggi sehingga apa jua kesilapan mereka, ia tidak dapat menjatuhkan kedudukan tersebut. Oleh itu janganlah mencari hukum ke atas emak saudara tetapi carilah jalan penyelesaian agar anak perempuan dan suaminya dapat memenangi hati ibu mereka. Saya yakin jika jalan ini yang ditempoh dengan bersungguh-sungguh, they will live happily ever after.