Soalan

Di satu surau terdapat sejumlah makmum tetapi tiada siapa yang sanggup menjadi imam hingga akhirnya masing-masing makmum solat bersendirian. Apakah hukumnya dan apakah satu kampung berdosa?

Anisah, Rantau Panjang, Kelantan.

Jawapan:

Kita letakkan bab hukum dan dosa ke tepi. Saya lebih berminat untuk menyentuh kenapa fenomena itu terjadi dan bagaimana mengelaknya dari berulang. Pada pengamatan saya, kebanyakan orang yang tahu bacaan dan tatacara solat secara baik tidak sanggup menjadi imam kerana mereka tidak hafal zikir dan doa di akhir solat. Padahal amalan imam memimpin zikir dan doa makmum selepas solat berjamaah bukanlah sesuatu yang berlaku secara berterusan di dalam sunnah Rasulullah s.a.w.. Baginda hanya melakukannya sekali sekala, tetapi kini ia menjadi amalan di akhir setiap solat berjamaah hingga masyarakat menganggap ia satu kemestian. Justeru khabarkan kepada para makmum bahawa boleh menjadi imam solat berjamaah sekali pun tanpa zikir dan doa berjamaah sesudah itu.