Soalan
Adakah solat saya sah apabila ibu jari kaki secara tidak sengaja terkeluar dari kain?

Azura, Banting, Selangor.


Jawapan:

Sesuatu yang tidak sengaja dimaafkan oleh syari’at asalkan segera dibetulkan apabila menyedarinya. Allah s.w.t. berfirman: “Kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Ahzab, ayat 5]

Apa yang berada di bawah mata kaki perlu ditutup semasa solat. Akan tetapi jika ibu jari kaki atau keseluruhan kaki di bawah buku lali keluar secara tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. Adapun jika keseluruhan kaki di bawah buku lali keluar dari kain secara sengaja, maka jika wanita itu berseorang atau sesama muslimat atau sesama mahramnya, maka solat tetap sah. Jika wanita itu berada di sekitar orang bukan mahram, dia berdosa kerana sengaja menampakkan kakinya tetapi ia tetap tidak membatalkan solat. [Syaikh Mustafa al-‘Adawy, Jami’ Ahkam al-Nisa’, jld. 1, ms. 321]