Soalan:
Kita dilarang meniru orang kafir. Maka apakah hukum bermain tanglong atau saling memberi hadiah berbentuk hamper?

Suzana, Gemas, Negeri Sembilan.

Jawapan:

Bukan semua yang berasal daripada kaum bukan Islam dilarang ke atas kita umat Islam. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menyuruh orang kafir mengajar umat Islam cara membaca dan menulis serta menggunakan beberapa peralatan dan taktik perang mereka. Ini kerana perkara-perkara itu adalah sesuatu yang umum kepada semua kaum. Apa yang dilarang ialah sesuatu yang menjadi ciri, lambang atau identiti khusus kaum yang memusuhi Islam.

Ini kerana: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.” [al-Mujadilah 58:22] Termasuk tanda berkasih mesra ialah mengikuti, meniru dan mengambil apa yang merupakan ciri, lambang atau identiti khusus kaum yang menentang Islam.