Soalan:
Bolehkah seorang wanita yang sedang haid menulis ayat-ayat al-Qur’an?

Siti Zulfatihah, Kota Bahru, Kelantan.

Jawapan:

Pandangan yang masyhur menyatakan wanita yang sedang haid tidak boleh membaca, menulis dan memegang al-Qur’an. Namun jika dikaji persoalan ini secara mendalam, sebenarnya wujud perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.” Namun wujud perbezaan pendapat tentang maksud “suci” dalam hadis di atas, adakah suci dari junub, suci dari haid, suci dari najis, suci dari aqidah menyembah berhala dan sebagainya.

Terdapat sebuah hadis lain: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.” Hadis ini pula diperselisihkan kekuatannya kerana memiliki beberapa kecacatan dalam sanadnya.

Dengan menghormati pendapat-pendapat di sebalik perbezaan dan perselisihan ini, saya cenderung kepada pendapat yang membolehkan wanita yang haid membaca, menulis dan memegang al-Qur’an. Ini kerana al-Qur’an adalah buku panduan hidup yang diperlukan sepanjang masa. Tidak tepat untuk dikatakan para wanita tidak memerlukan al-Qur’an pada masa-masa tertentu, seperti ketika haid.