Soalan:
Kenapakah doa-doa dalam majalah Dara.com diberikan maksudnya sahaja? Bukankah lebih baik jika doa itu diberikan dalam teks arabnya yang asli?

Nur Anis, Gombak, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Benar, lebih baik jika doa-doa yang berasal dari al-Qur’an dan hadis dibaca dalam teks arab. Akan tetapi syarat penerbitan majalah di Malaysia ialah tidak boleh disertakan apa-apa teks arab kerana bimbang kemuliaannya tidak terjaga apabila majalah itu jatuh, dibawa ke tandas, dilangkah atau tidak disimpan dengan baik.

Maka atas sebab inilah teks arab tidak dicetak bersama doa-doa itu. Namun dari sudut yang lain, doa-doa boleh saja dibaca dalam apa jua bahasa yang difahami oleh pendoa kerana Allah s.w.t. memahami semua bahasa hamba-Nya. Berbeza dengan solat, zikir dan tilawah al-Qur’an, bahasa itu sendiri menjadi salah satu unsur ibadah, maka wajib dibaca dalam bahasa yang dipilih oleh Allah, iaitu bahasa Arab.