Soalan:

Saya dapati kebanyakan orang menggantung ayat al-Qur’an di dalam rumah. Adakah ia dibolehkan?

Sarinah, Kuala Lumpur.


Jawapan:
Boleh atau tidak terpulang kepada tujuan ayat al-Qur’an digantung.

Pertama, ia digantung sebagai hiasan. Maka ini adalah tindakan yang tidak digalakkan kerana tujuan al-Qur’an ialah dibaca dan diamalkan, bukan digantung sebagai perhiasan. Jika al-Qur’an dibaca dan diamalkan dengan baik, ia mampu menghalau syaitan keluar dari rumah dan menjadi pendinding terhadap perbuatan sihir, kerana ajen sihir ialah syaitan. Rasulullah s.a.w. menganjurkan: “Janganlah menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kawasan kubur. Sesungguhnya syaitan keluar dari rumah yang di dalamnya dibaca surah al-Baqarah.” [Shahih Muslim, no: 780]

Maksud lain di sebalik hadis ini ialah kawasan perkuburan bukanlah tempat membaca al-Qur’an.

Kedua, ia digantung kepada mengharapkan sesuatu manfaat atau menghindarkan sesuatu mudarat. Maka ayat al-Qur’an itu berperanan umpama tangkal pelindung. Ini dilarang kerana merupakan keyakinan yang syirik kepada Allah. Manfaat atau mudarat adalah dengan kuasa Allah, bukan melalui ayat-ayat al-Qur’an yang digantung.

Sedia tercatat di dalam al-Qur’an: “Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya.” [al-An‘aam 6:17-18]