Soalan:

Saya bakal berkahwin tidak lama lagi dengan majlis akad nikah bakal diadakan dalam masjid. Saya risau jika pada hari berkenaan saya dalam keadaan haid. Adakah kita dilarang memasuki masjid dalam keadaan haid jika niat kita untuk menyelesaikan pernikahan sahaja?

 

Nabila, Shah Alam, Selangor.

 

 

Jawapan:

Para ilmuan berbeza pendapat hukum wanita yang sedang haid memasuki masjid. Dalam bab ini terdapat sebuah riwayat yang bermaksud: Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub. Akan tetapi darjat kekuatan hadis ini diperbincangkan. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis lain yang jelas sahih berkenaan seorang wanita yang tinggal sekian lama di dalam khemah, di dalam masjid Nabi di Madinah [Shahih al-Bukhari, no: 439] Wanita tersebut tentu mengalami kitaran seperti biasa, namun Rasulullah tidak menegur atau melarang beliau dari terus berada di dalam masjid. Oleh itu saya lebih cenderung kepada hukum bahawa wanita yang sedang haid boleh memasuki masjid atas apa jua urusan.

 

Seperkara lain, apabila mendekati hari nikah dan anda pasti akan didatangi haid pada hari tersebut, hendaklah memaklumkannya kepada calon suami. Ini kerana antara agenda utama pada malam pernikahan ialah suami dan isteri melakukan hubungan seks buat pertama kali. Makluman yang awal akan dapat mengelak situasi yang tidak diingini pada malam pertama tersebut. Perlu ingat bahawa Islam melarang suami menyetubuhi isterinya yang sedang haid, tetapi membolehkan mereka bermain-main bersama-sama.