Soalan:

Benarkah guruh yang kita dengar merupakan batu-batu yang dilemparkan oleh malaikat ke dalam neraka?

Siti Asmida, Kuala Krai, Kelantan.

 

Jawapan:

Tidak benar. Allah menjadikan kilat melalui cas-cas di antara awan dan panahan kilat tersebut apabila melintasi ruang udara akan melahirkan bunyi guruh.  Kilat dan guruh adalah dua dari sekian banyak tanda-tanda daripada Allah agar dengan itu manusia sedar akan kebesaran dan kekuasaan Allah sehingga tunduk beriman kepada-Nya. 

Allah berfirman: Dia-lah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung. Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat karena takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan kilat lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki. [al-Rad 13:12-13]

Penting untuk diperingatkan bahawa kerap kali kedengaran kisah-kisah yang tidak benar disampaikan atas nama Islam. Selain kes guruh di atas, ada juga yang berkata kilat ialah panahan Allah kepada syaitan, syaitan duduk di atas pelangi dan pelbagai lain. Semua ini adalah dusta di atas nama Islam dan kita berkewajipan untuk membetulkan orang yang menyampaikannya.