Soalan:

Seseorang telah berjanji sehidup semati dengan temannya tetapi akhirnya berpisah jua. Adakah mereka telah memungkari janji?

Badariah Johar, Tawau, Sabah.

 

Jawapan:

Memenuhi janji merupakan perkara yang ditekankan dalam Islam. Apabila menerangkan tentang amal-amal kebajikan orang yang beriman lagi bertaqwa, Allah menyebut salah satu daripadanya sebagai: Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian... [al-Baqarah 2:177] Allah juga mengingatkan: Dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. [al-Isra’ 17:34] 

Ada pun mungkir janji, maka ia terbahagi kepada dua jenis. Pertama, mereka yang memungkiri janji secara sengaja. Orang seperti ini bukan sahaja menyalahi ayat-ayat al-Qur’an di atas tetapi mendekatkan dirinya kepada ciri-ciri orang munafik. Hendaklah kita semua berusaha sedaya upaya untuk tidak masuk dalam jenis ini, meski pun janji dalam urusan harian yang biasa seperti janji membalas balik panggilan talifon (I will call you back later), janji mengembalikan buku kawan yang dipinjam atau janji bertemu dengan pada waktu tertentu (Jumpa pukul 5 petang nanti ya). Atas dasar ini juga, janganlah mudah berjanji sehingga ia menjadi satu kebiasaan di mulut kerana besar padahnya jika ia tidak dipenuhi.

Kedua, mereka yang memungkiri janji secara tidak sengaja. Atas sebab-sebab yang benar-benar tidak dapat dielakkan, sesuatu janji itu tidak dapat dipenuhi. Moga-moga Allah mengampuni kita apabila benar-benar tidak dapat memenuhi janji, namun ini dengan syarat dikhabarkan kepada rakan janji bahawa kita tidak dapat memenuhinya. Sebagai contoh, apabila tidak dapat memenuhi janji untuk bertemu dengan rakan pada pukul 5 petang, hendaklah mengkhabarkan kepada rakan tersebut melalui SMS umpamanya: “Maaf, saya tersekat dalam kesesakan jalan raya dan tidak dapat berjumpa pukul 5 petang ini. Kita tangguhkan ke pukul 6 petang, boleh?”

Ada pun perpisahan selepas perjanjian untuk sehidup semati, seboleh-bolehnya hendaklah diusahakan agar hubungan silaturahim masih terjalin sekadar yang boleh. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menjalin silaturahim.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2519] Baginda juga menyatakan: “Bukanlah silaturahim itu orang yang meneruskan hubungan yang sedia terjalin, akan tetapi silaturahim itu adalah orang yang apabila terputus hubungan, dia menjalinkannya kembali.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2533]