Soalan:

Jika anak dara yang solehah meninggal dunia, dengan siapakah dia akan berkahwin di syurga nanti?

Siti Saleha, Kuala Kangsar, Perak.

 

Jawapan:

Antara ciri orang solehah ialah dia tidak terlalu memikirkan soalan seumpama di atas. Apa yang lebih difikirkan ialah layak atau tidak dia memasuki syurga. Selepas dia memasuki syurga, barulah difikirkan soalan seumpama di atas.

Ini kerana memasuki syurga bukanlah satu hal yang mudah, sebagaimana yang ditanya oleh Allah: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? 

Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [al-Baqarah 2:214]

Andai kata sudah memasuki syurga pada Hari Akhirat kekal, boleh saja meminta apa jua yang dikehendaki termasuklah bernikah dengan seorang lelaki. Perhatikan rangkap terakhir dalam ayat berikut berkenaan ahli syurga: Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki. [Yasin 36:57]