Soalan:

Saya masih menuntut, segala makan minum dan perbelanjaan sekolah ditanggung oleh ayah. Akan tetapi apa yang merisaukan dan menjadi persoalan ialah, ayah saya tidak pernah solat dan setiap hari berjudi. Jadi bagaimana dengan status duit yang ayah saya bagi pada saya, halal atau haram? Mohon penjelasan daripada ustaz.

Linda, Georgetown, Pulau Pinang.

 

Jawapan:

Andai benar ayah tidak pernah solat dan selalu berjudi, maka kesalahan dan dosa ditanggung oleh ayah. Apabila ayah menanggung nafkah keluarganya seperti makan minum dan perbelanjaan sekolah, maka kebaikan dan pahala diperolehi oleh ayah. Nafkah yang dikeluarkan oleh ayah adalah halal untuk dimanfaatkan oleh ahli keluarganya. Berbeza jika ayah seorang pencuri sepenuh masa, lalu mencuri duit untuk dijadikan nafkah keluarga dan ini diketahui secara jelas oleh ahli keluarga, maka tidak boleh memanfaatkan duit tersebut.

Tidak dilupakan sebagai seorang anak yang solehah, hendaklah selalu berdoa kepada Allah agar menjauhkan ayah daripada aktiviti judi dan mendirikan solat lima kali sehari.