Apakah hukum seseorang itu memohon maaf kepada ibunya melalui surat sahaja?

Suziela Suuk, Kangar, Perlis.

 

Jawapan:

Orang yang memohon maaf tentu lebih baik berbanding orang yang enggan mohon maaf. Orang yang mohon maaf secara bersemuka tentu lebih baik berbanding yang memohon maaf secara surat, emel atau SMS.

Ketahuilah bahawa seorang ibu telah mengandung, melahirkan, menyusu, menidurkan, memberi makan, memandikan, membasuh najis, menukar lampin dan melayan semua kerenah anak sehinggalah besar secara bersemuka. Mungkin ibu pernah mendapatkan bantuan seorang pengasuh, namun jasa ibu secara bersemuka masih tiada tandingannya. Justeru amatlah tidak patut seorang anak enggan bersemuka dengan ibunya dalam perkara-perkara yang besar, seperti memohon maaf.

Seandainya anak berada di tempat yang jauh, tidak mengapa jika sebagai pendahuluan, menghantar surat memohon maaf. Namun dalam masa terdekat, pendahuluan ini hendaklah dilengkapkan dengan bersemuka bersama ibu, bersalaman dengannya, memeluknya dan memohon maaf kepadanya.