Soalan:

Apakah itu mujaddid? Benarkah mujaddid akan lahir dan membawa agama baru pada akhir zaman dan bagaimana untuk kita kenali sifat-sifat mujadidd ini?

Nursyaheeran Abdullah, Tangkak, Johor.

 

Jawapan:

Perkataan mujaddid bermaksud orang yang melakukan tajdid sebagaimana hadis berikut: Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3740/4291]

Adapun maksudnya, maka Ustaz Maszlee Malik menerangkan: “Tajdid membawa maksud suatu pembaharuan untuk membangkitkan komitmen umat terhadap Islam dalam bentuknya yang suci dan bersih. Ia adalah satu proses pembaikan atau suatu perubahan yang bertujuan membawa umat kembali kepada keaslian Islam yang utuh. Maksudnya, tajdid adalah berkaitan usaha mengembalikan sikap dan pengamalan umat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri dan bukannya menggantikan Islam dengan ajaran yang baru kerana (konon) tidak sesuai dengan zaman.” [Gerakan Tajdid: Keperluan Masa Kini, dalam Majalah i, edisi September 2005, ms. 22.]

Seorang mujaddid dapat dikenali dengan memerhatikan ajarannya. Jika dia mengajar umat Islam agar kembali kepada agama Islam yang sahih lagi tulen, maka dia seorang mujaddid yang benar. Namun jika dia mengajar kepada agama Islam yang diubah-suai dan ditokok-tambah dengan pelbagai pemikiran dan amalan yang baru, maka dia bukanlah seorang mujaddid yang benar meskipun namanya masyhur di media-media cetak dan elektronik.