Soalan: Bertani Di Perkuburan

Apakah hukumnya jika seseorang itu menanam ubi di sekitar kawasan perkuburan orang Islam dan bolehkah dimakan ubi tersebut?

Nurul Iman, Alor Setar, Kedah.

 

Jawapan:

Boleh bertani di sekitar atau berhampiran kawasan kubur. Akan tetapi tidak digalakkan bertani di dalam kawasan kubur kerana dibimbangi akan terpijak di atasnya, duduk di atasnya atau bersandar pada kubur. Di antara adab-adab di kawasan kubur ialah tidak memijak tepat di atas kubur sebagaimana jelas Jabir bin Abdullah: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya. [Shahih Sunan al-Tirmizi,  no: 972/1052]

Dalam sebuah hadis yang lain: Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk (tepat) di atas kubur. [Shahih Muslim, no: 1612/971] Oleh itu pilihan yang lebih selamat ialah tidak bertani di dalam kawasan kubur, baik kubur orang Islam mahupun kubur kaum lain.