Soalan:

Bolehkah diterangkan dengan lebih lanjut apa yang dikatakan dengan dahi tidak boleh tertutup walaupun sedikit semasa sembahyang. Adakah jika dahi teralas dengan telekung ketika sujud juga menjadi kesalahan?

Mardiah Arshad, Ipoh, Perak.

 

Jawapan:

Pendapat dan amalan masyhur tempatan menyatakan dahi tidak boleh tertutup atau berlapik ketika sujud. Ini adalah tidak benar kerana Rasulullah pernah bersabda: Kita semua telah diperintahkan sujud di atas tujuh anggota (dahi, dua tangan, dua lutut dan dua kaki), dan jangan kita menepis baju dan jangan pula kita menyelak rambut. [Shahih al-Bukhari, no: 768/810] Ertinya ketika sujud, jangan menepis baju atau menyelak rambut yang menutup dahi.

Dalam sebuah hadis lain dikisahkan bahawa: Kami solat bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu salah seorang dari kami meletakkan salah satu dari hujung bajunya di tempat sujudnya kerana kepanasan (pemukaan) tempat sujud. [Shahih al-Bukhari, no: 372/385] Tindakan para sahabat ini tidak ditegur atau dilarang oleh Rasulullah.

Oleh itu jika dahi beralas telekung (bagi perempuan) atau rambut (bagi lelaki) ketika sujud, baik sedikit atau banyak, ia tidak merosakkan solat mahupun membatalkannya.