Soalan:

Saya keliru dengan nama bagi anak angkat. Sepatutnya dibinkan Abdullah atau salah satu nama Allah seperti Abdul Rahman atau Abdul Rahim. Bolehkah tidak dibinkan, tetapi terus bersambung dengan nama bapa angkat? Contohnya Ali (nama si anak) Sulaiman (nama bapa angkat) di sambung jadi Ali Sulaiman.

 

Jawapan:

Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan: Panggilah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. [al-Ahzab 33:05]

Oleh itu nama anak angkat hendaklah dibinkan kepada ayah kandungnya. Jika tidak diketahui ayah kandungnya, dia dibinkan kepada salah satu nama Allah seperti Abdul Rahman atau Abdul Rahim. Nama anak angkat tidak boleh diletak bersebelahan dengan nama ayah angkat kerana ia tetap memberi erti hubungan nasab. Oleh itu nama Ali Sulaiman tetap akan difahami sebagai Ali bin Sulaiman. Contoh lain, nama saya Hafiz Firdaus Abdullah akan tetap difahami sebagai Hafiz Firdaus bin Abdullah. Semua ini adalah perintah Allah di dalam al-Qur’an sebagaimana ayat di atas.