Soalan:

Saya ada kemusykilan iaitu adakah niat puasa akan terbatal jika terlintas di hati ‘tak nak puasa’ walaupun pada zahirnya kita memang ingin berpuasa?

 

Jawapan:

Di dalam Islam, niat hanya diambil kira apabila ia dibuktikan dengan perbuatan. Seorang yang berniat untuk puasa akan tetapi dia tetap makan minum, maka dia tidak berpuasa dan tidak mendapat apa-apa pahala. Demikian juga, apabila seorang yang berpuasa berniat “Saya nak buka puasa” atau terlintas di hatinya “Saya tak nak puasa” padahal dia tetap menahan diri daripada makan, minum dan hubungan seks dengan pasangannya, maka dia dikira tetap berpuasa dan mendapat pahala yang selayaknya. Demikianlah juga dengan ibadah yang lain seperti wudhu’, solat dan tawaf.

Sedikit pengecualian. Apabila seseorang itu berniat untuk melakukan amal soleh lalu atas sebab yang tidak disengajakan dia tidak dapat melakukannya, dia mendapat pahala atas niatnya yang mulia itu. Apabila seseorang itu berniat untuk melakukan kemungkaran lalu dia tidak melakukannya, dia tidak mendapat dosa atau pahala. Namun jika niat itu hampir-hampir terjadi lalu dia berusaha keras untuk menahan dirinya daripada melakukan kemungkaran itu, dia mendapat pahala atas usaha tersebut.