Soalan:

Maaf jika soalan ini agak kurang menyenangkan. Bagaimana untuk memastikan air mani? Ini kerana saya seorang perempuan dan saya ada masalah keputihan. Oleh itu saya tidak dapat membezakan atau mengenal pasti sama ada cecair itu keputihan atau air mani?

 

Jawapan:

Air mani dapat dikenali apabila ia diawali dengan perasaan berahi, diikuti dengan perasaan klimaks dan cecair yang memancut. Allah berfirman tentang air mani: Maka hendaklah manusia memikirkan, dari apa dia diciptakan? Dia diciptakan dari air mani yang memancut. [al-Thariq 86:5-6]

Adapun keputihan, walaupun warnanya hampir sama dengan air mani, ia mengalir keluar (tidak memancut) dan tiada kaitan dengan perasaan berahi atau klimaks.

Merujuk kepada air mani wanita, seorang wanita pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama Khaulah binti Hakim pernah menerangkan: “Aku bertanya kepada Rasulullah tentang perempuan yang bermimpi?” Lalu baginda bersabda: “Apabila dia melihat air mani, maka hendaklah dia mandi.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 198]

Berdasarkan hadis ini, tidak perlu malu-malu atau meminta maaf untuk bertanya apa jua soalan. Kedua, jika seorang wanita bermimpi basah lalu dia melihat ada air mani, maka mandilah (mandi wajib). Jika tiada air mani, tak perlu mandi. Namun jika jarak masa antara mimpi dan sedar dari tidur agak lama, maka lebih selamat untuk mandi kerana mungkin ada air mani dan ia telah kering atau mengalir ke tempat lain.