Soalan:

Insya-Allah saya akan berpindah ke rumah baru. Sehubungan dengan itu saya ingin bertanya apakah adab-adab Islam untuk berpindah ke rumah baru? Perlukah diadakan majlis doa selamat dan bacaan surah Yasin?

Husna Atirah, Pontian, Johor.

 

Jawapan:

Saya tidak mengetahui apa-apa amalan khusus yang ditunjuk oleh al-Qur’an dan al-Sunnah tentang amalan pindah rumah. Paling dekat ialah berkaitan jiran kerana jiran tetangga memiliki kedudukan yang penting dalam Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. [Shahih Muslim, no: 67/47]

Oleh itu apa yang patut dilakukan ialah mengkhabarkan kepada jiran-jiran rumah lama bahawa anda akan berpindah serta meminta-maaf akan apa-apa kesalahan yang pernah dilakukan. Kemudian berkenalan dengan jiran-jiran di rumah baru anda serta mula menjalinkan silaturahim dengan mereka.

Adapun amalan majlis doa selamat dan bacaan surah Yasin, ia hanyalah kebiasaan masyarakat kita yang memberat-beratkan keluarga yang baru berpindah.