Soalan:

Setiap kali bergaduh dengan kawan baik, sama ada saya atau dia yang bersalah, saya yang akan meminta maaf dahulu. Sebenarnya saya tidak mahu perhubungan kami ini putus begitu saja. Makin lama makin saya tidak tahan dengan sikapnya yang ego dan sukar meminta maaf. Apa yang patut saya lakukan?

Dayahana, Sabah.

 

Jawapan:

Di antara ciri-ciri orang bertaqwa yang Allah Subhanahu wa Ta'ala sediakan syurga sebesar langit dan bumi ialah mereka suka memaafkan orang lain. Firman Allah: Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. [Ali Imran 3:133-134]

Oleh itu teruskan sikap mulia mendahului kemaafan dan tegurlah sikapnya yang ego dan enggan meminta maaf. Jika teguran demi teguran tidak mengubahnya, maka tinggalkanlah dia. Ini kerana dibimbangi sikap egonya itu lambat laun akan menjangkiti diri anda pula. Di luar sana ada banyak lagi muslimat yang dapat memberikan persahabatan yang tinggi nilai dan manfaatnya.