Di antara keyakinan atau i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah ialah adanya syafa’at pada Hari Akhirat kelak. Dari sudut bahasa, syafa’at bermaksud “perantara”. Dari sudut istilah, syafa’at bermaksud: “berperantara dengan orang lain untuk memperoleh manfaat atau menolak mudarat”.

Meskipun syafa’at lazimnya merujuk kepada urusan pada Hari Akhirat, ia sebenarnya boleh digunakan dalam urusan dunia sesama manusia. Dalam ayat 85 surah al-Nisa’, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Barangsiapa yang memberikan syafa'at yang baik, niscaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan barangsiapa yang memberi syafa'at yang buruk, niscaya dia akan memikul bahagian (dosa) daripadanya. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Oleh itu apabila orang yang memiliki kedudukan, kemampuan atau kekuasaan membantu orang lain dalam urusan manusia yang dihalalkan oleh Islam, maka dia mendapat pahala. Malah dia tetap mendapat pahala atas usahanya itu walaupun tidak membuahkan hasil yang diinginkan. Ini berdasarkan firman Allah: Barangsiapa yang memberikan syafa'at yang baik, niscaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Demikian juga, dibolehkan bagi seseorang itu meminta syafaat daripada orang yang memiliki kedudukan atau kekuasaan dalam sesuatu urusan manusia yang dihalalkan oleh Islam.

Pada waktu yang sama, apabila orang yang memiliki kedudukan, kemampuan atau kekuasaan membantu orang lain dalam urusan manusia yang diharamkan oleh Islam, maka dia mendapat dosa. Ini berdasarkan firman Allah: Dan barangsiapa yang memberi syafa'at yang buruk, niscaya dia akan memikul bahagian (dosa) daripadanya.

cahaya tangan

Perbezaan Antara Urusan Allah Dan Urusan Manusia

Ingin ditekankan bahawa kebolehan meminta syafa’at sesama manusia hanyalah dalam urusan manusia. Contohnya, meminta wakil rakyat berjumpa dengan ketua menteri bagi mendapatkan kelulusan menurap jalan di kampung, meminta guru agar bercakap dengan guru besar bagi memohon pertukaran kelas anak di sekolah dan meminta pegawai untuk berjumpa ketua jabatan bagi mempercepatkan sesuatu urusan.

Tidak boleh meminta syafa’at sesama manusia dalam urusan Allah seperti mengampunkan dosa, melapangkan rezeki, merahmati kehidupan, mempermudahkan lintasan titian Sirat dan menyelamatkan dari api neraka. Contohnya, tidak boleh meminta si-fulan berjumpa kepada tok syaikhnya dan meminta agar syaikhnya itu mengampunkan dosa-dosanya. Meminta syafa’at sesama manusia dalam urusan Allah merupakan satu keyakinan dan perbuatan yang syirik kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Perbezaan Antara Syafa’at dan Pertolongan

Diulangi bahawa syafa’at ialah perantara. Apabila kita meminta syafa’at daripada seseorang, bererti kita meminta dia menjadi perantara. Dalam tiga contoh di atas, wakil rakyat, guru dan pegawai bertindak sebagai perantara. Mereka bertindak sebagai pemberi syafaat. Akan tetapi berjaya atau tidak syafa’at mereka tetap bergantung kepada keputusan ketua menteri, guru besar dan ketua jabatan.

Di sini dapat dibezakan antara syafa’at dan pertolongan. Syafa’at ialah orang yang menjadi perantara dalam sesuatu urusan, namun berjaya atau tidak bergantung kepada orang yang lebih berkuasa daripadanya. Sementara pertolongan ialah orang yang terus membantu sesuatu urusan tanpa bergantung kepada orang lain yang lebih berkuasa daripadanya.

Di sini jelas terserlah kesalahan lirik nasyid atau qasidah yang berbunyi “Kami meminta pertolonganmu wahai Rasulullah” atau “Madad Ya Rasulullah!” Jika dikatakan mereka memohon pertolongan kepada Rasulullah dalam urusan manusia, maka ia tidak boleh kerana baginda sudah wafat. Jika dikatakan memohon pertolongan Rasulullah dalam urusan akhirat, maka ia adalah syirik kerana semua urusan akhirat adalah urusan Allah belaka.

Jika dikatakan mereka sebenarnya bermaksud memohon syafa’at Rasulullah, maka ia tetap salah kerana syafa’at hanya terhasil apabila memenuhi dua syarat, seperti yang akan dijelaskan seterusnya.

 

Syarat Mendapat Syafa’at Pada Hari Akhirat

Kita Ahli Sunnah wal Jamaah berkeyakinan wujudnya syafa’at pada Hari Akhirat, namun syafa’at tersebut hanya diperolehi dengan izin dan reda Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini merupakan kedudukan pertengahan Ahli Sunnah wal Jamaah di antara dua fahaman lain yang ekstrim lagi salah, iaitu (1) mereka yang berkeyakinan dapat memperoleh syafa’at secara terus lagi mudah pada Hari Akhirat dan (2) mereka yang menafikan wujudnya syafa’at pada Hari Akhirat.

Syarat Pertama ialah izin Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini berdalilkan firman-Nya: 

Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya. [al-Baqarah 2:255].

Tiada seorangpun yang akan memberi syafa'at kecuali sesudah ada izin-Nya. [Yunus 10:03]

Dan tiadalah berguna syafa'at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa'at itu. [Saba’ 34:23]

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapat kita fahami bahawa syafa’at hanya berlaku apabila ia diizinkan oleh Allah. Keizinan ini meliputi dua pihak, pihak yang memberi syafa’at dan pihak yang akan menerima syafa’at. Jika Allah tidak izinkan, maka tiada siapa yang dapat memberikan syafa’at. Jika Allah izinkan seseorang memberi syafa’at, tidak semestinya Allah izinkan semua orang dapat menerima syafa’at itu.

Contohnya, dalam banyak hadis-hadis yang sahih diterangkan bahawa Allah telah mengizinkan Rasulullah memberi syafa’at pada Hari Akhirat. Namun ini tidaklah bererti semua orang akan dapat menerima syafa’at itu kerana terima atau tidak tetap terpulang kepada izin Allah. Di sini juga dapat difahami bahawa apabila seseorang itu mengingini syafa’at Rasulullah pada Hari Akhirat kelak, hendaklah dia berdoa kepada Allah dan bukannya meminta daripada Rasulullah.

Syarat Kedua ialah reda Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini berdasarkan firman-Nya:

Dan mereka tiada memberi syafa'at melainkan kepada orang yang diredai Allah. [al-Anbiya 21:28]

Dan berapa banyaknya malaikat di langit, syafa'at mereka sedikitpun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredai (Nya). [al-Najm 53:26]

Siapakah orang yang diredai Allah agar diizinkan-Nya memberi atau menerima syafa’at? Mereka ialah orang-orang beriman yang mati dalam keadaan mentauhidkan Allah serta tidak menyekutukan Allah dengan apa jua. Tentang mentauhidkan Allah, Abu Hurairah pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafa'atmu pada Hari Kiamat?"

Rasulullah menjawab: “Aku telah menduga wahai Abu Hurairah, bahawa tidak ada orang yang mendahuluimu dalam menanyakan masalah ini kerana aku lihat betapa besar perhatian dirimu terhadap hadis. Orang yang paling berbahagia dengan syafa'atku pada Hari Kiamat kelak adalah orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah dengan ikhlas dari hati atau jiwanya.” [Shahih al-Bukhari, no: 97/99]

Sementara itu dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Setiap Nabi memiliki doa yang mustajab, maka setiap Nabi telah menyegerakan doanya. Sesungguhnya aku menyembunyikan (menyimpan) doaku sebagai syafa'at bagi umatku pada Hari Kiamat. Dan insya-Allah syafa'atku akan mencakup orang yang mati dari kalangan umatku yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun. [Shahih Muslim, no: 296/199]

Oleh itu sesiapa yang inginkan syafa’at pada Hari Akhirat hendaklah berusaha memperoleh reda Allah. Sukar untuk memperoleh reda Allah jika seseorang itu melakukan amalan syirik seperti berdoa sesama manusia, meminta syafa’at sesama manusia, memakai tangkal, mempercayai nasib baik dan buruk, mengamalkan jampian yang tidak difahaminya, mengharapkan kesembuhan daripada doktor, mengunggulkan ulama’ di atas al-Qur’an dan al-Sunnah, bertanya kepada bomoh, berjumpa tukang tilik nasib, mempercayai rahsia tarikh lahir dan mencintai seseorang sebagaimana mencintai Allah.

Ingat, syirik kepada Allah bukan sahaja menyembah patung, tetapi menyakini seseorang atau sesuatu mampu berperanan atau melakukan kerja-kerja Allah. Perkara ini telah saya senaraikan dan jelaskan dalam buku 13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid