Abu Musa (Abdullah bin Qais) berkata, bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selalu dijaga oleh para sahabatnya. Pada suatu malam aku terbangun dan mendapati baginda tidak pada tempat tidurnya, maka akupun bergerak dan pergi untuk melihat (mencari) baginda.

Aku berselisih dengan Muaz (bin Jabal) dan dia telah mendapatkan apa yang aku dapatkan (iaitu mencari dan menemui Rasulullah). Kemudian kami mendengar suara seperti tiupan angin. Maka kami berdua berhenti berdiri, lalu Nabi datang dari arah suara itu.

Baginda bertanya: “Tahukah kalian, di mana aku tadi berada dan aku sedang buat apa? Satu utusan dari Rabbku ‘Azza wa Jalla mendatangiku, lalu menawarkan pilihan antara setengah daripada umatku masuk surga atau (aku dapat memberikan) syafa’at, lalu aku memilih syafa’at.”

Mereka berdua bertanya: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah 'Azza wa Jalla agar menjadikan kami termasuk orang-orang yang mendapatkan syafa’atmu.”

Maka baginda bersabda: “Kalian dan orang-orang yang meninggal dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun akan mendapatkan syafa’atku.” [Musnad Ahmad dengan sanad yang dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth, no: 18792/19618]

BegginAllah

Dalam hadis di atas terdapat dua petunjuk tentang meminta syafa’at Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pertama, dibolehkan meminta atau mengharapkan syafa’at baginda. Kedua, permintaan itu tidak ditujukan kepada baginda, tetapi ditujukan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana meskipun secara umumnya Rasulullah telah diizinkan memberi syafa’at pada Hari Akhirat, siapa yang bakal menerima syafa’at itu tetap bergantung kepada izin dan reda Allah.

Oleh kerana itulah kedua-dua sahabat di atas berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah 'Azza wa Jalla agar menjadikan kami termasuk orang-orang yang mendapatkan syafa’atmu.” Mereka tidak berkata umpama: “Wahai Rasulullah, syafa’atilah kami”.

Hadis Anas Bin Malik Meminta Syafa’at

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Anas bin Malik berkata:

Aku meminta Nabi shallallahu 'alaihi wasallam agar memberiku syafa’at pada Hari Kiamat. Baginda menjawab: “Aku akan melakukannya.”

Anas berkata, saya bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, di manakah patut aku mencari anda? Baginda menjawab: “Carilah aku pada saat pertama kali kamu mencariku di atas titian Sirat.”

Anas berkata, saya bertanya lagi: “Jika aku tidak menemui anda di atas titian sirat?” Baginda menjawab: “Carilah aku dekat Mizan.”

Anas berkata, saya bertanya lagi: “Jika aku tidak menemui anda dekat Mizan?” Baginda menjawab: “Carilah aku dekat Telaga Haudh, kerana aku tidak luput dari tiga tempat itu.” [Sunan al-Tirmizi, no: 2357/2433]

Dalam hadis ini, kelihatan Anas bin Malik meminta syafa’at secara terus daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan baginda membenarkannya. Akan tetapi hadis ini tidak dapat dijadikan hujah kerana terdapat perbincangan darjat kekuatannya.

Setelah mengemukakan hadis ini, Imam al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan gharib, tidak aku mengetahuinya melainkan dengan wajah ini.”  Ini bererti beliau sejak awal telah mengisyaratkan kelemahan hadis ini.

Hadis ini juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dan Haitsam Abdul Ghafur dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi),hadis no: 2602. Pun begitu, al-Albani menilainya sahih sebagaimana dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no. 2433.

Andai diambil penilaian bahawa hadis ini sahih, matannya secara zahir bertentangan dengan ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan syafa’at pada Hari Akhirat hanyalah dengan izin Allah kepada orang-orang yang diredai-Nya. Justeru syafa’at bukanlah hak mutlak Rasulullah, akan tetapi ia adalah hak mutlak Allah. Paling baik yang dapat dikatakan, hadis ini khusus kepada Anas bin Malik dengan anggapan baginda telah menerima khabar wahyu bahawa beliau (Anas) telah diizinkan menerima syafa’at pada Hari Akhirat kelak.

Adapun bagi kita, maka hadis pertama daripada Abu Musa menjadi rujukan. Ini kerana ia bersifat umum merangkumi semua umat Muhammad dan merupakan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah cara yang betul bagi meminta syafa’at Rasulullah.

Meminta Syafa’at Selepas Kewafatan Rasulullah

Kedua-dua hadis yang dikemukakan di atas merujuk pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masih hidup. Adapun selepas kewafatan baginda, kita tidak dapat bertemu empat mata dengan baginda untuk meminta baginda berdoa kepada Allah agar kita dapat memperoleh syafa’atnya. Kita tidak dapat berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah 'Azza wa Jalla agar menjadikan kami termasuk orang-orang yang mendapatkan syafa’atmu.”

Apa yang dapat kita lakukan ialah, berdoa terus kepada Allah umpama: “Ya Allah! Izinkanlah aku mendapat syafa’at Nabi-Mu Muhammad pada Hari Akhirat kelak” atau “Ya Allah! Golongkanlah aku di kalangan orang-orang yang mendapat syafa’at Rasulullah” dan “Ya Allah! Kurniakan kepadaku syafa’at Nabi-Mu”.

Oleh itu dibolehkan meminta atau mengharapkan syafa’at Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam selepas kewafatan baginda dengan cara meminta terus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Amal-Amal Bagi Meraih Syafa’at Rasulullah

Syafa’at Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak sahaja diraih dengan berdoa, tetapi dengan melakukan beberapa amalan khusus yang telah dijelaskan oleh baginda melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di antaranya ialah mengikhlaskan tauhid kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana hadis berikut: Orang yang paling berbahagia dengan syafa'atku pada Hari Kiamat kelak adalah orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah dengan ikhlas dari hati atau jiwanya.” [Shahih al-Bukhari, no: 97/99]

Amal lain ialah membaca doa selepas azan sebagaimana hadis berikut, di mana baginda bersabda: Sesiapa berdoa setelah mendengar adzan: “Ya Allah. Rabb Pemilik seruan (azan) yang sempurna ini, dan Pemilik solat yang akan didirikan, berikanlah kepada Muhammad wasilah (perantara) dan keutamaan, bangkitkanlah beliau pada kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan”, maka dia berhak mendapatkan syafa'atku pada Hari Kiamat. [Shahih al-Bukhari, no: 579/614]

Tidak ketinggalan ialah memperbanyakan selawat ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pernah menerangkan: Sesiapa yang berselawat ke atasku ketika waktu pagi sepuluh kali dan ketika waktu petang sepuluh kali, nescaya dia diliputi dengan syafa’atku pada Hari Kiamat kelak. [Riwayat al-Thabarani, Shahih al-Jami’ al-Shogheir, no: 11303/6357]

Tentu sahaja selawat yang dimaksudkan di sini ialah selawat yang penuh kehusyukan, rendah diri, berdasarkan hormat serta kasih sayang dan dibaca berdasarkan lafaz-lafaz yang baginda sendiri ajarkan. Adapun konsert-konsert selawat, maka semua itu hanyalah hiburan yang cuba dihalalkan atas nama Islam.

Terakhir ialah memperbanyakkan sujud melalui solat fardhu dan solat-solat sunat yang disyari’atkan oleh hadis-hadis yang sahih. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memang suka bertanya kepada pelayannya: “Mungkin engkau mempunyai sesuatu hajat?” Sehingga pada suatu hari pelayannya berkata: “Wahai Rasulullah, aku memiliki hajat.” Rasulullah bertanya: “Apakah hajatmu?” Pelayannya menjawab: “Hajatku ialah kamu mensyafa’atiku pada Hari Kiamat. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah yang menunjuk (mengajar) kamu hal ini?” Pelayan menjawab: “Tuhan-ku”. Rasulullah menjawab: “Jika begitu, bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud.” [Musnad Ahmad dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya, no: 15496/16076]