Apabila melihat kereta yang canggih atau motorsikal berkuasa tinggi, mungkin ada segelintir yang beranggapan, pemilikinya adalah orang yang cintakan dunia, suka menunjuk-nunjuk dan melakukan pembaziran. Ini kerana ada yang beranggapan Islam membenci apa-apa yang canggih, cantik dan mewah.

Bagi membetulkan anggapan ini, saya ingin berkongsi sebuah hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu 'anh. Beliau menerangkan: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memiliki seekor unta yang diberi nama al-'Adbha'. Ia adalah unta yang tidak dapat dikalahkan (dalam perlumbaan).

(Pada satu hari) datang seorang Arab Badwi menaiki untanya (lalu berlumba dan) berjaya mengalahkan (unta Rasulullah). Maka perkara ini menyebabkan kaum muslimin rasa terganggu, mereka berkata: “al-'Adhba' telah dikalahkan!”

Maka bersabdalah Rasulullah: “Sesungguhnya merupakan hak atas Allah bahawa tidaklah (sesiapa) mengangkat sesuatu daripada perkara di dunia ini melainkan Dia akan merendahkannya.” [Shahih al-Bukhari, no: 6020/6501]

luxurycar

Hadis ini menceritakan tentang kenderaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak sekadar berjalan kaki atau menunggang haiwan yang kecil, kurus, tua atau tempang kakinya. Akan tetapi baginda memiliki kenderaan yang terbaik pada zamannya, iaitu seekor unta yang diberi nama al-‘Adhba’. Ia adalah seekor unta yang hebat sehingga apabila berlumba dengan unta-unta lain milik para sahabat, nescaya al-‘Adhba’ yang ke hadapan.

Hadis ini menjadi dalil bahawa boleh memiliki kenderaan yang bagus. Malah bukan sekadar boleh tetapi merupakan sunnah Rasulullah untuk memiliki kenderaan yang bagus. Dalam sebuah hadis lain, baginda pernah menerangkan empat perkara yang membahagiakan seorang Muslim dan salah satu daripadanya ialah kenderaan yang selesa. Perhatikan hadis berikut:

Empat perkara termasuk unsur kebahagiaan seseorang: wanita (isteri) yang soleh, kediaman (rumah) yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan empat perkara termasuk unsur penderitaan seseorang: jiran tetangga yang tercela, wanita (isteri) yang tercela (buruk akhlaknya), tempat kediaman yang sempit dan kenderaan yang tercela. [Shahih Ibn Hibban, no: 4032 (tahqiq Syu’aib al-Arna’uth)] Kenderaan yang selesa tentu saja merupakan kenderaan yang bagus.

Pun begitu, tentu sahaja memiliki kenderaan yang bagus adalah mengikut kemampuan masing-masing. Bukanlah sesuatu yang selari dengan sunnah Rasulullah dan ajaran Islam apabila seseorang itu berhutang sehingga 9 tahun semata-mata untuk membeli sebuah kenderaan yang bagus.

 

Hukum Berlumba dan Bertanding

Hadis di atas juga merupakan salah satu dalil yang membolehkan pertandingan berlumba di antara kenderaan. Para sahabat melumba unta mereka dengan unta Rasulullah, demikian juga Arab Badwi yang melumba untanya dengan unta Rasulullah. Dalam hadis-hadis lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berlumba kuda. Malah baginda juga pernah berlumba lari dengan isterinya A’isyah radhiallahu 'anha.

Apabila berbicara tentang perlumbaan atau pertandingan, tentu ramai yang sudah tahu bahawa ia tidak boleh melibatkan perjudian atau pertaruhan. Namun ada tambahan lain yang mungkin tidak diketahui ramai, bahawa ia tidak boleh melibatkan hadiah kecuali dalam perlumbaan atau pertandingan yang berupa latihan persiapan ke medan perang (jihad fi sabilillah).

Perhatikan hadis sahih berikut: Tidak ada ganjaran (hadiah) dalam pertandingan kecuali (pertandingan) memanah, lumba unta dan lumba kuda. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1622/1700] Berdasarkan kaedah qiyas, para ulama’ berkata dibolehkan memberi hadiah kepada apa-apa perlumbaan atau pertandingan lain yang merupakan latihan untuk bersiap sedia ke medan perang. Adapun sekadar bersuka-suka, menjaga kesihatan badan, aktiviti sosial, Hari Keluarga pejabat, Hari Sukan sekolah, pertandingan membaca al-Qur’an, pertandingan mencari ustaz muda dan lain-lain, maka tidak boleh diadakan hadiah atau ganjaran. Pemberian hadiah dilarang kerana ia sedikit atau banyak tentu melibatkan unsur judi, meskipun para peserta rela hati, tidak sengaja atau tidak tahu tentangnya.

Berbeza dengan memanah, lumba kuda, lumba unta atau apa-apa lain yang seumpama berdasarkan kaedah qiyas, maka pemberian hadiah dibolehkan kerana manfaatnya adalah jauh lebih besar daripada mudaratnya. Bahkan dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertaruh dalam lumba kuda.

Anas bin Malik radhiallahu 'anh pernah ditanya sama ada pernah berlaku pertaruhan dalam lumba kuda pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan apakah baginda turut serta bertaruh? Anas menjawab: Ya! Demi Allah! Rasulullah pernah bertaruh lumba kuda dengan kudanya yang bernama Sabhah dan baginda mendahului (kuda-kuda lain) sehingga gembira dan kagum dengan (kuda)nya. [Musnad Ahmad, no: 13194/13689 dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth]

Walaubagaimanapun kebanyakan ulama’ tidak mengamalkan hadis ini kerana bimbang ia disalah faham atau disalah guna sehingga membuka ruang kepada pelbagai bentuk perjudian lain. Justeru mereka tetap mengharamkan apa-apa pertandingan atau perlumbaan yang memiliki unsur judi di dalamnya.

 

Sentiasa Merendah Diri

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di penghujung hadis memberikan satu pengajaran yang amat penting: “Sesungguhnya merupakan hak atas Allah bahawa tidaklah (sesiapa) mengangkat sesuatu daripada perkara di dunia ini melainkan Dia akan merendahkannya.”

Hadis ini menjelaskan arti sebenar tawadhu'. Ia bukanlah memiliki benda buruk atau tidak bernilai kerana ada orang yang memiliki benda sedemikian, lalu dia berbangga-bangga serta bermegah-megah bahawa dia seorang yang tawadhu' kononnya. Tawadhu' ialah memiliki benda bagus dan terbaik mengikut kemampuan masing-masing, namun tidak berbangga-bangga dan bermegah-megah dengannya.

Saya akhiri penulisan ini dengan dua hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hadis pertama menerangkan keutamaan memiliki yang bagus, cantik lagi terbaik, hadis kedua menerangkan keutamaan merendah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi kesombongan.” Seorang bertanya: “Sesungguhnya seorang lelaki itu menyukai baju bagus dan kasut yang bagus (apakah ini termasuk kesombongan)?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” [Shahih Muslim, no: 131/91]

Tidaklah sedekah itu menyusutkan harta dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat kemaafannya melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang bersifat rendah diri kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya. [Shahih Muslim, no: 4689/2588]