Salah satu sunnah Rasulullah yang mungkin belum kita amalkan – termasuklah saya – ialah meninggalkan wasiat. Mungkin kerana tidak tahu, menganggap diri masih sihat, memandangnya remeh, jarang mengingati kematian secara benar atau salah tafsiran, tidak ramai di antara kita yang menulis wasiat kepada ahli keluarga kita. Justeru dalam ruangan kali ini, saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca yang budiman merenung subjek ini.

            Rasulullah pernah bersabda: “Tidaklah sepatutnya seorang muslim yang memiliki sesuatu untuk diwasiatkan, melalui dua malam melainkan wasiatnya sudah tertulis di sisinya.” Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 2533 (Kitab al-Washaya, Bab wasiat dan sabda Nabi).

tulis_wasiat.jpg

Dalam hadis ini jelas tergambar kepentingan menulis wasiat kepada semua individu muslim sehingga tidak sepatutnya dua malam berlalu tanpa dia menulis apa-apa wasiat. Para ilmuan – sepertimana yang dinukil oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas – berbeza pendapat sama ada hukum menulis wasiat adalah wajib atau sunat. Namun yang utama ialah segera melaksanakan tuntutan hadis sebagaimana yang dilakukan oleh ‘Abdullah ibn Umar: “Sejak mendengar sabda Rasulullah tersebut, maka tidak ada satu malam pun yang berlalu melainkan di sisiku telah terdapat surat wasiatku.” [Shahih Muslim, no: 3075] 

 

Akan Tetapi Saya Tidak Berharta?

         Agaknya soalan pertama yang terlintas di fikiran pada pembaca sekalian adalah “Aku tidak memiliki harta, lalu untuk apa aku menulis wasiat? Sementara yang memiliki harta, bukankah harta itu dibahagikan mengikuti sistem Fara’id?”

          Soalan ini dapat dijawab seperti berikut. Wasiat tidak semestinya berkaitan dengan harta tetapi pelbagai urusan lain. Perkara paling utama lagi penting untuk diwasiatkan ialah berkenaan agama, sebagaimana yang dilakukan oleh para Nabi dan Rasul: Dan Nabi Ibrahim berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya), katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.[al-Baqarah 2:132]

       Rasulullah juga meninggalkan wasiat berkaitan agama, iaitu berpegang kepada al-Qur’an. ‘Abdullah bin Abi Aufaa pernah ditanya: Apakah Nabi pernah berwasiat?” Dia menjawab: “Tidak.” Kemudian ditanya lagi: “Lalu bagaimana berwasiat itu diwajibkan kepada manusia atau mereka diperintahkan supaya berwasiat (padahal baginda tidak berwasiat)?” Beliau menjawab: “Baginda berwasiat dengan Kitab Allah.” [Shahih al-Bukhari, no: 2535]

       Dalam suasana wujudnya pelbagai aliran agama pada masa kini, tidak cukup untuk berwasiat kepada ahli keluarga untuk berpegang teguh kepada agama Islam. Akan tetapi hendaklah diperincikan kepada Islam yang berteraskan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang diwarisi daripada generasi al-Salaf al-Shalih. Penekanan diberikan kepada aqidah serta peringatan diberikan kepada kepercayaan dan amalan yang boleh merosakkan aqidah.

         Perkara kedua yang perlu diwasiatkan ialah berkaitan hutang. Sebesar mana sekalipun amal shalih seseorang, hutang akan menjadi penghalang baginya mendapat keutamaan di Alam Barzakh dan sesudah itu. Ini termasuklah mereka yang melakukan amal shalih yang paling utama, iaitu mati syahid selepas berjuang di medan perang. Rasulullah mengingatkan: Diampunkan semua dosa bagi seseorang yang mati syahid kecuali hutang. [Shahih Muslim, no: 3498] Justeru hendaklah disenaraikan hutang rumah, hutang kenderaan, hutang pembelajaran dan hutang bersama rakan-rakan serta rancangan pembayarannya.

         Merujuk kepada pembahagian fara’id, ia memang merupakan syari’at Islam dalam membahagikan harta kepada ahli waris. Di sini wasiat dilakukan dengan menyenaraikan harta serta lokasi harta seperti nama bank dan nombor akaunnya, nama insuran dan jumlah perlindungan yang diambil serta membuat penamaan KWSP. Selain fara’id, satu pertiga daripada jumlah harta boleh diwasiatkan kepada yang bukan ahli waris. Maka hendaklah ditulis apa dan bagaimana satu pertiga harta tersebut hendak diagihkan. Berkenaan keutamaan meninggalkan wasiat kepada ahli waris, Rasulullah bersabda:

      “Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin lalu mengemis kepada manusia dengan menadahkan tangan mereka. Sesungguhnya apa saja yang kamu keluarkan berupa nafkah sesungguhnya itu termasuk sedekah sekalipun satu suapan yang kamu masukkan ke dalam mulut istrimu.” [Shahih al-Bukhari, no: 2537]

       Satu nasihat penting kepada para suami, hendaklah ditinggalkan sejumlah wang tunai sebagai simpanan kecemasan ahli keluarganya. Ini kerana apabila beliau (suami) meninggal dunia, harta warisan lazimnya mengambil masa yang agak lama untuk diproses dan diagihkan. Dalam tempoh itu, ahli keluarga dapat memanfaatkan wang tunai kecemasan yang telah ditinggalkan oleh beliau.

 

Akan Tetapi Saya Masih Muda Dan Sihat?

      Termasuk dalam anjuran mengingati kematian ialah bersiap sedia menghadapinya. Sama-sama diketahui bahawa malaikat maut boleh datang menemui kita ketika sihat atau sakit, muda atau tua, gembira atau sedih. Maka muda dan sihat bukanlah alasan untuk menangguh atau meremehkan penulisan wasiat. Jika dirujuk kepada hadis di awal penulisan ini, Rasulullah menekankan penulisan wasiat kepada semua muslim tanpa membezakan seseorang muda atau tua, sihat atau sakit.

           Muslim yang cemerlang ialah muslim yang bersiap sedia menghadapi kematiannya dengan aqidah yang benar, ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariyah, anak-anak shalih yang mendoakannya dan wasiat yang bertulis.