Bulan ini saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk mengkaji semula sebuah hadis yang masyhur, dikenali sebagai Hadis Fathimah binti Qays. Hadis ini masyhur bukan kerana masyhurnya Fathimah binti Qays, tetapi kerana ia dijadikan dalil dan hujah untuk “boleh mengata dan mengaibkan orang lain”.

cane_n_coins.jpg

Bagi para pembaca yang belum mengenali hadis ini, ia merujuk kepada kes seorang shahabiyah (sahabat wanita pada zaman Rasulullah) yang bernama Fathimah binti Qays, semoga Allah meredhainya. Setelah diceraikan oleh suaminya, Fathimah dilamar oleh dua orang lelaki, iaitu Mu’awiyah bin Abu Sufyan dan Abu Jahm. Dalam menilai di antara dua lamaran ini, Fathimah telah pergi berjumpa Rasulullah meminta pandangan baginda. Setelah ditanya, Rasulullah menjawab: 

 

“Abu Jahm adalah orang yang tidak meninggalkan tongkatnya dari lehernya sedangkan Mu’awiyah adalah orang yang miskin, tidak memiliki harta.” [Shahih Muslim, no: 2709]

 

Jawapan Rasulullah ini ditafsir oleh ramai pihak sebagai pembongkaran keaiban seseorang di belakangnya demi mencapai sesuatu kemaslahatan. Kononnya, Rasulullah telah menceritakan aib atau keburukan orang yang melamar demi kemaslahatan Fathimah agar di kemudian hari dia tidak menyesal. Maka berdasarkan jawapan ini, ramai yang menjadikannya sebagai dalil dan hujah bahawa boleh membongkarkan aib seseorang di belakangnya jika terdapat sesuatu maslahat di sebaliknya.

Persoalannya, benarkah Rasulullah telah membongkar aib seseorang?

 

Tongkat dan Harta.

Jawapan Rasulullah bahawa Abu Jahm adalah orang yang tidak meninggalkan tongkatnya dari lehernya masyhur ditafsirkan sebagai seorang suami yang kerap memukul isterinya. Atas sikap yang buruk ini, ia adalah aib yang mesti diceritakan demi kemaslahatan isteri.

Akan tetapi jika dikaji secara lebih mendalam, ungkapan “orang yang tidak meninggalkan tongkatnya dari lehernya” juga memiliki maksud lain, iaitu orang yang kerap bermusafir. Pada zaman Rasulullah, lelaki yang bermusafir lazimnya akan membawa tongkatnya sama ada untuk membantu berjalan, menyangkut bungkusan di bahu atau sebagai senjata mempertahankan diri.

Memang, beberapa ulama’ yang mensyarahkan hadis Fathimah ini memilih tafsiran “seorang suami yang kerap memukul isterinya”. Namun tafsiran ini menimbulkan beberapa persoalan lain, iaitu jika Rasulullah mengetahui hadirnya seorang suami yang kerap memukul isterinya, kenapakah suami itu dibiarkan begitu saja tanpa ditegur dan dihentikan sikap buruk tersebut? Ditegur dan dihentikan sehingga apabila dia melamar Fathimah, dia tidak lagi memiliki sikap buruk tersebut? Apakah Rasulullah redha dengan para suami pemukul isteri?

Persoalan-persoalan ini menyebabkan saya lebih cenderung kepada tafsiran kedua, bahawa yang dimaksudkan ialah “suami yang kerap bermusafir”. Berdasarkan tafsiran kedua ini, ia bukanlah satu aib atau keburukan yang telah dibongkarkan oleh Rasulullah di belakang Abu Jahm, melainkan ia adalah satu khabar berkenaan ciri khusus seseorang.

Demikian juga jawapan Rasulullah bahawa Mu’awiyah adalah seorang miskin yang tidak berharta. Ini bukanlah satu pembongkaran aib kerana dalam beberapa hadis yang lain, Rasulullah telah menerangkan keutamaan orang yang tidak berharta. Justeru apa yang dilakukan oleh Rasulullah ialah sekadar mengkhabarkan ciri khusus Mu’awiyah yang bukan seorang jutawan.

Berdasarkan semakan semula ke atas maksud tongkat dan harta, saya cenderung untuk merumuskan bahawa Rasulullah tidak membongkar aib atau keburukan sesiapa. Andai benar Abu Jahm adalah seorang pemukul isteri, maka tentu Rasulullah akan pergi berjumpa beliau dan menegahnya daripada memukul isteri tanpa alasan syar’e. Andai benar Mu’awiyah adalah seorang fakir yang tidak dapat menafkahi isteri, maka tentu Rasulullah akan pergi menemui beliau menasihatinya untuk tidak melamar sesiapa sehingga Allah melapangkan rezekinya.

 

Siapakah Yang Membongkar Aib Itu?

Baiklah, katakanlah para pembaca sekalian tetap mencenderungi tafsiran yang menyatakan Rasulullah telah membongkar aib Abu Jahm dan Mu’awiyah. Persoalannya, adakah pembongkaran seperti ini boleh dilakukan oleh siapa saja?

Tentu tidak. 

Jika diperhatikan peribadi Rasulullah, baginda adalah seorang Rasul yang mendapat petunjuk wahyu dan pemeliharaan dari kesilapan (maksum) daripada Allah. Ini tentu jauh berbeza dengan diri kita yang tidak terlepas dari bisikan syaitan, pengaruh emosi dan perasaan ujub “saya benar”. Atas perbezaan ini, sungguh tidak layak untuk seseorang itu membongkar aib orang lain, seorang ustaz membongkar aib ustaz yang lain, seorang penceramah membongkar aib aliran yang lain dan begitulah seterusnya.

Perbezaan ini saya tonjolkan kerana akhir-akhir ini, terdapat orang-orang “agama” yang merasakan dirinya layak untuk membongkar aib individu atau aliran yang tidak disukainya. Mereka memperalatkan hadis Fathimah binti Qays sebagai dalil dan hujah.

Tanpa disedari, orang-orang seperti ini sebenarnya ujub terhadap diri sendiri, kononnya berada pada martabat setaraf Rasulullah sehingga boleh membongkar aib orang lain. Itu pun jika benar Rasulullah pernah membongkar aib orang lain di belakangnya.