Seorang sahabat Rasulullah bernama Abu Umamah al-Bahili suatu ketika melihat cangkul dan beberapa alat pertanian lain di dalam sebuah rumah, lalu beliau berkata: “Aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, tidaklah masuk barang-barang seperti ini ke dalam rumah satu kaum melainkan Allah akan memasukkan kehinaan (ke dalam rumah tersebut).”

Hadis ini sahih. Ia dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 2153/2321. Hadis ini tentu menimbulkan tanda tanya kepada para pembacanya. Bukankah pertanian itu satu kerja yang halal? Kenapakah orang yang menyimpan alat-alat pertanian akan dihina oleh Allah? Bukankah dalam sebuah hadis lain diterangkan keutamaan orang yang bercucuk tanam, lalu mendapat pahala sedekah apabila hasil cucuk tanamnya dimakan oleh orang lain termasuklah haiwan? Hadis yang dimaksudkan ialah:

Tidaklah seorang muslim menanam pokok lalu dimakan daripadanya melainkan ia menjadi sedekah bagi (yang menanam)nya. Apa yang dicuri darinya menjadi sedekah baginya, apa yang dimakan oleh haiwan darinya menjadi sedekah baginya, apa yang dimakan oleh burung darinya menjadi sedekah baginya dan tidak ada sesiapa yang kehilangan sesuatu melainkan ia menjadi sedekah baginya. [Shahih Muslim, no: 2903/1552]

 

sahih_al-bukhari.jpeg 

Kepentingan Bab Atau Judul Hadis

Jawapannya dapat diperolehi apabila kita merujuk kepada nama bab atau judul yang diberikan oleh Imam al-Bukhari apabila mengemukakan hadis di atas. Ketahuilah bahawa para imam hadis tidaklah meriwayatkan hadis-hadis secara “copy and paste”, yakni meriwayatkan lafaz sahaja tanpa memahami maksudnya. Mereka memahami dengan baik maksud hadis-hadis yang mereka riwayatkan dan maksud tersebut mereka catat sebagai tajuk bagi hadis tersebut.

Hadis di atas misalnya, Imam al-Bukhari memberikannya judul: “Seksaan yang ditakuti akibat menyibukkan diri dengan alat pertanian atau melampaui batas yang diperintahkan”. Berdasarkan judul ini, dapat kita fahami bahawa celaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ditujukan kepada orang yang terlalu sibuk atau melampaui batas dengan kerjaya pertaniannya. Sikap seperti ini akan menyebabkan dirinya leka dengan urusan pertaniannya sehingga banyak perintah larangan agama yang lain akan terabai.

Misalnya, orang tersebut mungkin leka daripada mendirikan solat lima waktu sehari, apatah lagi solat berjamaah di masjid. Orang tersebut mungkin terlalu fokus kepada urusannya sehingga hal ehwal keluarga secara khusus dan umat Islam secara umum diabaikan. Bahkan mungkin sahaja orang tersebut taksub memikirkan keuntungan hasil pertanian sehingga enggan membayar zakat pertaniannya.

Oleh itu hadis ini bukanlah mencela bidang pertanian, tetapi mencela orang yang terlalu sibuk  dengan kerjaya pertanian kerana dibimbangi kesibukan tersebut akan menyebabkan sebahagian atau kebanyakan daripada perintah larangan agama yang lain akan terabai.

Pengajaran hadis ini tidak terbatas kepada bidang pertanian sahaja, tetapi umum meliputi pelbagai bidang atau kerjaya yang lain. Ia memberi peringatan kepada kita semua agar bersederhana dalam apa jua yang dilakukan. Jangan terlalu sibuk atau melampaui batas kerana dibimbangi sebahagian atau kebanyakan daripada perintah larangan agama akan terabai. Apabila ini berlaku, kesibukan tersebut bukan memberikan kemuliaan kepada kita, sebaliknya kehinaan daripada Allah Subhanahu waTa'ala.

 

Penjelasan Para Imam Hadis

Selain menjelaskan maksud hadis melalui bab atau judulnya, para imam hadis juga menjelaskan maksud hadis dengan cara menyusun hadis-hadis yang berkaitan dalam satu bab agar ia saling menjelaskan antara satu sama lain. Ada juga imam hadis yang menerangkan maksud hadis selepas hadis tersebut atau menukil penjelasan para ilmuan lain dan meletakkannya sesudah hadis tersebut.

Satu contoh ialah hadis berikut. Diriwayatkan daripada A’isyah: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya membuat pembahagian yang adil di antara isteri-isterinya dan baginda berdoa: “Ya Allah, inilah pembahagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau mencela aku pada sesuatu yang Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu.” [Sunan al-Tirmizi, no: 1059 dengan sanad yang mursal]

Seorang penulis novel membuat kesimpulan dari doa Rasulullah di atas sebagai kesukaran baginda hidup di alam poligami sehingga baginda “merayu-rayu taubat dan mengadu kepada Allah tentang keterbatasan itu”. Kesimpulan ini amat jauh tersasar kerana apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa… maka janganlah Engkau mencela aku pada sesuatu yang Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu, …maksudnya adalah dalam masalah hati dan kasih sayang.

Maksud ini diterangkan sendiri oleh Imam al-Tirmizi sesudah meriwayatkan hadis tersebut: Makna doa baginda: “Maka janganlah Engkau mencela aku pada sesuatu yang Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu”, sesungguhnya ia tidak lain ialah dalam masalah kasih sayang dan kecintaan. Demikianlah yang dijelaskan oleh sebahagian ahli ilmu.

Imam Abu Daud turut meriwayatkan hadis di atas dalam kitab Sunannya, no: 1822. Di hujung hadis tersebut beliau menjelaskan: “Yakni dalam masalah hati”.

Dalam fiqh poligami, Allah Subhanahu waTa'ala telah memberikan kelonggaran dan kemaafan dalam masalah hati dan kasih sayang. Ini berdasarkan firman-Nya:

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (kepada sebahagian isteri) sehingga kamu biarkan (sebahagian) isteri yang lain seperti benda yang tergantung; dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Nisa’ 4:129]

Selain itu, berdoa tidak semestinya kerana menghadapi masalah, tetapi kerana merendah diri kepada Allah yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Justeru meskipun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui – berdasarkan ayat 129 surah al-Nisa’ – bahawa masalah hati dan kasih sayang adalah sesuatu yang manusia memang tidak dapat berlaku adil, baginda tetap berdoa atas dasar rendah diri dan takut kepada Allah Subhanahu waTa'ala.

Kepentingan Merujuk Kepada Kitab Hadis

Demikianlah dua contoh bagaimana kefahaman yang tepat bagi sesuatu hadis dapat dicapai dengan merujuk terus kepada kitab hadis yang asal. Selain itu, merujuk terus ke kitab hadis membolehkan kita membaca sesebuah hadis secara lengkap daripada awal sehingga akhir. Pada masa kini, sebahagian penceramah atau penulis buku mengemukakan hadis secara ringkas atau dengan lafaz yang terpotong. Ini berlaku kerana mungkin mereka sendiri tidak merujuk kepada kitab hadis yang asal atau kerana sesuatu halangan lain seperti ruang masa atau tulis yang terhad.

Bahayanya, apabila hadis dikemukakan secara ringkas atau dengan lafaz yang terpotong, wujud kemungkinan maksud sebenar hadis tidak dapat diperolehi dengan tepat. Oleh itu amat penting bagi para penceramah dan penulis untuk merujuk kepada kitab hadis yang asal dan memahami metodologi penyusunan oleh imam hadis tersebut sebelum mengemukakan sesebuah hadis dalam ceramah atau tulisannya.