Apabila berbicara berkenaan poligami, satu kes yang mesti diberikan pencerahan ialah berkenaan hajat Ali bin Abi Thalib untuk berpoligami lalu dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beberapa tafsiran dan kesimpulan hukum dibuat berdasarkan kes ini. Ada yang mendakwa hukum poligami sudah dibatalkan, ada yang berkata seorang ayah atau wali berhak melarang puterinya daripada dimadukan dan ada yang menghasut seorang isteri agar meminta cerai jika suaminya ingin bernikah lagi.

poligami_copy.jpg 

Apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes Ali bin Abi Thalib? Dalam kolum yang lepas berjudul Kepentingan Merujuk Kepada Kitab Hadis (Majalah i, Sept 2013), saya telah menjelaskan bahawa antara kaedah para imam hadis menjelaskan maksud sesuatu hadis ialah dengan menyusun hadis-hadis yang berkaitan dalam satu bab agar ia saling menjelaskan antara satu sama lain. 

Bagi kes poligami Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh misalnya, Imam Muslim telah menyusun beberapa hadis yang saling berkaitan di bawah satu tajuk, iaitu Keutamaan Fatimah. Hadis-hadis ini adalah sahih dan ia saling menjelaskan antara satu sama lain. Ini kerana sebagaimana ayat-ayat al-Qur’an saling menjelaskan antara satu sama lain, hadis-hadis juga saling menjelaskan antara satu sama lain. Marilah kita menyemak dan menghalusi hadis-hadis tersebut daripada kitab Shahih Muslim.
 
Hadis Yang Lengkap.
al-Miswar bin Makhramah menerangkan, sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah pun baligh. Baginda berkhutbah: “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku, sesungguhnya aku bimbang terjadi fitnah pada agamanya.” 
Kemudian baginda menyebutkan kekerabatan baginda dengan Bani Abd Syams (di mana puteranya Abu al-‘Ash bin al-Rabi’ telah menikahi Zainab, puteri Nabi), memujinya atas kedekatan baginda dengannya dan menyebut-nyebut kebaikannya. Baginda bersabda: “(Apabila) dia berbicara denganku, dia berkata benar (jujur) kepadaku. (Apabila) dia berjanji denganku, dia menepati janjinya kepadaku.”
(Seterusnya baginda kembali kepada hal pinangan Ali bin Abi Thalib kepada puteri Abu Jahal dengan bersabda): “Dan sesungguhnya aku bukan mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.” [Shahih Muslim, no: 4484/2449]
Demikianlah hadis yang lengkap berkenaan larangan Rasulullah ke atas Ali bin Abi Thalib daripada berpoligami. Berdasarkan khutbah Rasulullah kepada orang ramai di atas, jelas bahawa baginda tidak bertujuan untuk mengubah hukum poligami dari halal kepada haram. Poligami tetap halal berdasarkan sabda baginda: “Dan sesungguhnya aku bukan mengharamkan sesuatu yang halal…”
Pada waktu yang sama Rasulullah tidak boleh menghalalkan apa yang asalnya haram, yakni baginda tidak boleh menghalalkan Fatimah yang merupakan puteri Rasul Allah untuk dimadukan dengan anak perempuan Abu Jahal yang merupakan puteri musuh Allah. Inilah maksud baginda: “…dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram.” 
Dalam susun kata lain, hukum poligami secara umumnya adalah halal dan tetap halal sehingga ke Hari Akhirat. Namun dalam keumuman tersebut terdapat satu pengecualian iaitu haram hukumnya untuk mengumpul atau memadukan antara puteri Rasul Allah dan puteri musuh Allah. Inilah yang ditekankan oleh baginda: “Akan tetapi Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.”
Muhammad bin Abdullah adalah Rasul Allah yang terakhir sehingga dengan itu larangan ini tidak lagi berlaku kepada mana-mana kes poligami selepas baginda. Ini kerana musuh-musuh Allah akan sentiasa ada sehingga Hari Akhirat manakala Rasul Allah tidak ada lagi selepas Muhammad bin Abdullah.
Berdasarkan hadis yang penuh ini, tertolaklah dakwaan pihak yang mengatakan hukum poligami sudah dibatalkan. Tertolak juga dakwaan pihak yang mengatakan seorang ayah atau wali berhak melarang puterinya daripada dimadukan. Ini kerana kes di atas hanya khusus kepada Rasulullah dan puterinya Fatimah, bukan umum kepada semua ayah dan puteri-puteri mereka kerana ayah-ayah tersebut bukanlah seorang Rasul Allah.
Di sini timbul persoalan, kenapakah puteri Rasulullah – yakni Fatimah – tidak boleh dimadukan dengan puteri musuh Allah? Ada yang berkata, puteri Abu Jahal ketika itu masih belum memeluk Islam. Ada juga yang berkata, puteri Abu Jahal sudah memeluk Islam namun Rasulullah mengetahui – berdasarkan petunjuk wahyu – hakikat sebenar di dalam hatinya. Selain itu ada yang berkata, larangan ini adalah kerana Ali bercadang meletakkan kedua-dua isterinya didalam satu rumah, di bawah satu bumbung.
Apa yang benar ialah, kita tidak perlu mencari atau bertanya apakah sebab larangan tersebut. Apatah lagi untuk mengembangkan larangan tersebut kepada andaian-andaian yang lain. Sebagai orang yang beriman, kewajipan kita ialah hanya berkata “Kami dengar dan kami taat” kepada apa-apa keputusan Allah dan Rasul-Nya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala:
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]
Demikian inilah sikap Ali bin Abi Thalib. Setelah Rasulullah melarangnya memadukan Fatimah dengan puteri Abu Jahal, kita tidak menemui apa-apa riwayat sahih yang menerangkan Ali membantah atau mempersoalkan kenapa? Ali hanya dengar dan taat kerana Rasulullah sudah menjelaskan sebabnya: “Dan sesungguhnya aku bukan mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.”
 
Boleh Meminta Cerai Kerana Dimadukan?
Berdasarkan kes poligami Ali bin Abi Thalib, ada yang menjadikannya dalil bagi menghasut isteri yang bakal dimadukan agar meminta cerai. Mereka mendakwa, Fatimah telah meminta cerai daripada Ali bin Abi Thalib. Benarkah dakwaan ini? Marilah kita merujuk kepada hadis yang sebenar, masih di dalam kitab Shahih Muslim di bawah bab Keutamaan Fatimah:
al-Miswar bin Makhramah menerangkan bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku untuk menikahkan anak mereka (puteri Abu Jahal) dengan Ali bin Abu Thalib, maka aku tidak mengizinkan mereka, kemudian (mereka minta izin lagi namun) aku tetap tidak mengizinkan mereka, kemudian (mereka meminta izin lagi namun) aku tetap tidak izinkan mereka melainkan Ali menceraikan puteriku (Fatimah) kemudian menikahi anak mereka. Ini karena sesungguhnya puteriku adalah bahagian daripadaku. Membimbangkan aku apa yang membimbangkannya dan menyakiti aku apa yang menyakitinya.” [Shahih Muslim, no: 4482/2449]
Dalam hadis di atas jelas bahawa bukan Fatimah yang meminta cerai daripada Ali bin Abi Thalib. Akan tetapi yang menyebutnya ialah Rasulullah. Sebabnya sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadis di atas bahawa haram hukumnya bagi puteri Rasul Allah untuk dihimpunkan (dimadukan) dengan puteri musuh Allah.
Masih ada beberapa persoalan dan salah faham dalam kes poligami Ali bin Abi Thalib. Ini akan saya jelas dalam kolum yang akan datang, insya-Allah.