Apabila ada orang yang telah melakukan banyak kemungkaran yang dahsyat datang kepada anda menyatakan hasratnya bertaubat, apakah jawapan anda? Apakah dengan mengatakan tiada harapan untuk bertaubat? Atau sekadar mengatakan: “Ya, bertaubatlah” tanpa menerangkan cara-cara bertaubat? Marilah kita mengkaji hadis berikut untuk mendapatkan jawapannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Satu ketika yang lalu ada seorang lelaki yang telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa (orang). Kemudian orang tersebut bertanyakan seorang yang paling alim di negerinya, lalu ditunjukkan kepada seorang ahli ibadah. Maka dia mendatangi ahli ibadah itu dan berkata: “Sesungguhnya (aku) telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, apakah masih ada peluang untuk bertaubat?” Ahli ibadah itu menjawab: “Tidak.” Maka lelaki itu membunuh ahli ibadah tersebut dan dengannya, genaplah seratus (orang yang telah dibunuhnya).

taubat

 

 

Kemudian lelaki itu bertanyakan lagi orang yang paling alim di negerinya, lalu ditunjukkan kepada seorang ahli ilmu. Maka dia mendatangi ilmuan itu dan berkata: “Sesungguhnya (aku) telah membunuh seratus jiwa, apakah masih ada peluang untuk bertaubat?” Ilmuan itu menjawab: “Tentu ada! Siapa yang boleh menghalang antara dirimu dan taubat? Pergilah ke sebuah negeri sekian-sekian kerana di sana terdapat banyak manusia yang beribadah kepada Allah, maka beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Dan janganlah kembali kepada negeri asal kamu kerana ia adalah negeri yang (ada banyak) keburukan.

Maka berpindahlah lelaki itu sehingga apabila dia di pertengahan jalan, maut menemuinya. Maka malaikat rahmat dan malaikat azab saling berselisih. Berkata malaikat rahmat: “Dia datang sebagai orang yang bertaubat dan dengan hati yang berharap kepada Allah.” Berkata pula malaikat azab: “Sesungguhnya dia belum mengamalkan apa-apa kebaikan jua.”

Akhirnya datanglah seorang malaikat yang menyamar sebagai manusia dan memutuskan perkara yang sedang mereka berdua selisihi. Dia berkata: “Ukurlah jarak di antara dua negeri tersebut. Mana yang lebih dekat di antara keduanya maka itulah keputusan bagi lelaki (yang meninggal dunia) itu.” Ternyata dari hasil ukuran mereka, lelaki tersebut meninggal dunia lebih dekat ke tempat yang sedang ditujunya. Dengan demikian orang tersebut berada dalam jagaan malaikat rahmat. [Shahih Muslim, no: 4967/2766]

Dalam hadis di atas, ilmuan tersebut menyatakan bahawa tentu ada peluang bertaubat bagi orang yang ingin bertaubat, sebesar mana sekalipun kemungkaran yang pernah dilakukannya. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan mungkar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53]

Meskipun seseorang itu menyakini atau melakukan perkara syirik seperti tenung nasib, sihir, memakai tangkal, berjumpa bomoh bagi mencari barang hilang, bertawassul dengan mengharapkan pengaruh orang yang ditawassuli dan menyakini doktor serta ubat sebagai penyembuh, peluang taubat tetap terbuka kepadanya. Apabila dikatakan Allah tidak mengampuni dosa syirik, ia bererti Allah tidak mengampuni seorang muslim yang apabila meninggal dunia masih menyakini atau mengamalkan perkara-perkara syirik. Jika seorang muslim pernah menyakini atau melakukan syirik lalu bertaubat sebelum meninggal dunia, Allah menerima taubatnya.

Perkara kedua yang dinasihati oleh ilmuan tersebut ialah berpindah ke negeri yang lebih baik. Taubat tidak semata-mata menyesali kesalahan yang dilakukan serta berazam untuk tidak mengulanginya, tetapi berhijrah ke suasana kehidupan yang dapat membantu menjadikan taubatnya satu kenyataan. Lingkungan hidup amat penting untuk membantu proses taubat. Orang yang ingin bertaubat daripada menghisap rokok misalnya, dia akan sukar bertaubat jika hidup dilokasi yang ada banyak kedai menjual rokok dan bergaul dengan penghisap rokok.

Lingkungan hidup amatlah penting bagi seorang Muslim menjaga aqidah dan amalannya. Perhatikan firman Allah ini: Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia.

Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. [al-Khaf 18:28]

Oleh itu orang yang mahu bertaubat hendaklah bersungguh-sungguh dalam taubatnya. Menyesal dan berazam adalah sesuatu yang sederhana beratnya. Namun meninggalkan rakan pergaulan yang lama kepada yang baru adalah sesuatu yang amat berat. Akan tetapi inilah yang mesti dilakukan bagi memastikan taubat adalah satu kenyataan dan bukannya sekadar azam yang berulang-ulang kegagalannya.

 

Beberapa Pengajaran Lain

Jika dicermati hadis sahih di atas, akan ditemui beberapa pengajaran atau faedah yang lain. Pertama, perhatikan keutamaan ahli ilmu di atas ahli ibadah. Kedua-dua mereka adalah baik, namun ahli ilmu adalah lebih baik kerana dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Oleh itu usahlah terperanjat jika menemui sebahagian ahli ilmu yang kadar ibadahnya biasa-biasa sahaja kerana banyak masa dan tenaganya digunakan untuk mengkaji dan menyebarkan ilmu.

Kedua, dalam Islam bertaubat adalah secara terus kepada Allah. Inilah cara yang terbaik lagi selamat. Dibolehkan meminta orang yang masih hidup, yang diyakini aqidahnya dan kesolehannya untuk turut mendoakan. Contoh: “Wahai syaikh, saya telah banyak berdosa. Saya sentiasa berdoa agar Allah menerima taubat saya. Tolonglah doakan juga agar Allah menerima taubat saya.” Ini dibolehkan dan termasuk bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup. Dalilnya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. [al-Nisa’ 4:64]

Dalam ayat di atas, orang yang menganiaya diri sendiri berdoa memohon ampun kepada Allah. Pada waktu yang sama Rasulullah juga memohon ampun kepada Allah untuk mereka.

Apa yang dilarang ialah berdoa umpama: “Wahai syaikh, terimalah taubat aku ini” atau: “Ya Allah, aku berdoa atas nama syaikh (sekian-sekian) agar Engkau terima taubatku ini” dengan hati yang berkeyakinan – walaupun sedetik – bahawa penyebutan nama syaikh akan memberi pengaruh positif taubatnya akan diterima oleh Allah. Ini adalah syirik.

Ketiga, orang yang ada penyesalan dan berazam untuk taubat, lalu berusaha ke arahnya, maka Allah menerima taubatnya meskipun dia belum sempat mengerjakan apa-apa amal soleh. Inilah yang ditunjuki oleh hadis sahih di atas. 

Berbeza dengan orang yang tidak ada penyesalan dan keazaman sepanjang hidupnya, lalu ketika sakaratul maut baru hendak bertaubat, maka ia sudah terlewat baginya. Allah Subhanahu wa Ta'ala menegaskan: Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini”, (padahal taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nisa’ 4:18]

Semua orang tidak tahu bilakah mati akan menemuinya. Oleh itu bersegeralah bertaubat daripada apa jua kemungkaran selagi mana masih sempat.