Dalam edisi bulan lepas kita telah mempelajari kisah anak muda yang Allah Subhanahu wa Ta'ala berikan karamah merawat orang-orang yang sakit. Keistimewaan beliau telah diketahui oleh Raja yang menganggap dirinya sebagai tuhan, lalu raja itu memanggil anak muda itu menghadapnya. Apakah yang berlaku selanjutnya? Ayuh kita semak lanjutan hadis terbabit.

Maka anak muda itu dibawa menghadap raja. Raja berkata kepadanya: “Wahai anak muda! Sihirmu sudah sampai ke tahap merawat orang buta dan penyakit kusta serta kamu terus melakukannya dan melakukannya.” Anak muda itu menjawab: “Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan seorang jua. Sesungguhnya yang menyembuhkan tidak lain adalah Allah.” Maka diambil anak muda itu dan diseksa tanpa henti sehinggalah dia menunjuk kepada rahib (yang mengajarnya).

Maka rahib itu dibawa menghadap raja dan dikatakan kepadanya: “Keluarlah dari agama kamu”, namun dia enggan. Maka diminta sebilah gergaji dan diletakkan gergaji itu di tengah kepalanya, lalu digergaji sehingga terbelah dua. Kemudian dibawa ahli majlis diraja dan dikatakan kepadanya: “Keluarlah dari agama kamu”, namun dia enggan. Maka diletakkan gergaji itu di tengah kepalanya, lalu digergaji sehingga terbelah dua.

fire

 

Kemudian dibawa anak muda dan dikatakan kepadanya: “Keluarlah dari agama kamu”, namun dia enggan. Anak muda itu lalu diserahkan kepada sejumlah pengawal diraja dan dikatakan: “Pergilah dengan anak muda ini ke sekian-sekian bukit, dakilah bukit itu dengannya. Apabila kalian sampai ke puncaknya, perintahlah dia agar keluar dari agamanya. Jika tidak buangkan dia (dari puncak bukit itu).”

Maka pergilah mereka dengan anak muda itu dan mereka mendaki bukit dengannya. (Ketika dalam pendakian, anak muda berdoa): “Ya Allah! Cukuplah (Engkau sebagai pelindung) aku daripada mereka dengan apa jua cara yang sesuai dengan kehendak Engkau.” Maka bergegerlah bukit itu bersama mereka lalu jatuhlah pengawal-pengawal diraja tersebut. Anak muda kembali menemui raja, lalu raja berkata kepadanya: “Apa yang kamu lakukan kepada pengawal-pengawal kamu?” Anak muda menjawab: “Cukuplah Allah (sebagai pelindung bagi) aku daripada mereka.”

Kemudian anak muda itu diserahkan kepada sejumlah pengawal diraja (yang lain) dan dikatakan: “Pergilah dengan anak muda ini dan bawalah dia di dalam kapal sehingga ke tengah laut. Perintahlah dia agar keluar dari agamanya. Jika tidak buangkan dia (ke dalam laut).” Maka mereka pergi dengan anak muda itu. (Ketika dalam pelayaran, anak muda berdoa): “Ya Allah! Cukuplah (Engkau sebagai pelindung) aku daripada mereka dengan apa jua cara yang sesuai dengan kehendak Engkau.” Maka terbalik dan tenggelamlah kapal itu bersama pengawal-pengawal diraja tersebut.

Anak muda kembali menemui raja, lalu raja berkata kepadanya: “Apa yang kamu lakukan kepada pengawal-pengawal kamu?” Anak muda menjawab: “Cukuplah Allah (sebagai pelindung bagi) aku daripada mereka.” Dia menambah lagi: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat membunuh aku kecuali kamu melakukan apa yang aku suruh kamu dengannya.” Raja bertanya: “Apakah itu?”

Anak muda menjawab: “Himpunlah orang ramai di sebuah dataran dan saliblah aku di sebuah batang pokok. Kemudian ambillah sebatang anak panah dari bekasku, siapkan anak panah itu di busur, ucapkan ‘Dengan nama Allah, tuhan anak muda’, kemudian panahlah aku. Sesungguhnya apabila kamu melakukan seperti itu nescaya kamu akan dapat membunuhku.”

Maka dihimpunlah orang ramai di sebuah dataran dan disalib anak muda itu di sebuah batang pokok. Kemudian diambil sebatang anak panah dari bekasnya, disiapkan anak panah di busur, diucapkan ‘Dengan nama Allah, tuhan anak muda’, dan dilepaskan anak panah tersebut. Anak panah mengena tepat pada pelipis anak muda itu. Dia meletakkan tangannya di pelipis tempat anak panah mengenanya (untuk seketika), lalu mati.

Maka berkatalah orang ramai (yang hadir menyaksikan peristiwa itu): “Kami beriman kepada tuhan anak muda. Kami beriman kepada tuhan anak muda. Kami beriman kepada tuhan anak muda.” Apabila raja datang, dikatakan kepadanya: “Apakah kamu tidak melihat, apa yang pernah kamu diperingatkan tentangnya? Demi Allah, telah terjadi ke atas kamu. Berhati-hatilah kamu kerana sekarang orang ramai telah beriman (kepada Allah).

Maka diperintahkan agar dibuat parit yang lebar di jalan tempat lalu-lintas orang ramai dan dinyalakan api pada kedua-dua tepinya. Dikatakan: “Siapa yang enggan keluar dari agamanya akan dibakar di dalamnya atau ditolak (ke dalamnya).” Perkara ini terus berlaku sehingga datang seorang ibu bersama anaknya, lalu dia teragak-agak untuk terjun ke dalam parit berapi itu. (Tiba-tiba) anaknya berkata: “Wahai ibu! Bersabarlah kerana sesungguhnya kamu berada di atas kebenaran.” [Shahih Muslim, no: 5327/3005]

Lanjutan kisah di atas merupakan contoh terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut 29:2-3]

Anak muda, rahib, ahli majlis di raja dan seluruh rakyat diuji kata-kata mereka “Kami beriman” sehingga nyata bahawa keimanan mereka adalah benar. Kisah ini dan ayat 2-3 surah al-Ankabut seharusnya menjadi peringatan kepada kita untuk sentiasa prihatin kepada ujian daripada Allah. Lebih-lebih lagi apabila kita biasa bersorak “Kami lakukan semua ini kerana Allah!”, lalu Allah memberikan ujian bagi menentukan apakah ia semata-mata slogan kosong atau kata-kata yang terhasil daripada iman yang kukuh di dalam hati. Ujian itu pula datang dalam pelbagai bentuk. Kadang dalam bentuk kejayaan di mana ramai yang gagal kerana timbulnya perasaan ujub. Kadang dalam bentuk kegagalan di mana ramai yang terus mempersoalkan Allah. Kadang dalam bentuk halangan-halangan di mana ramai yang gagal kerana cepat putus asa.

Adapun orang reda, atau paling kurang tetap bersabar dan terus mencari alternatif-alternatif lain bagi memperoleh kejayaan, maka dia bukan sahaja dapat membuktikan kebenaran imannya tetapi memperoleh tiga kebaikan: selawat, rahmat dan petunjuk daripada Allah. Perhatikan ayat berikut:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), kelaparan dan kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang memperoleh selawat daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk. [al-Baqarah 2:155-157]

 

Etika Berdoa

Meskipun hukum bertawassul ketika berdoa dengan menyebut nama orang-orang soleh diperbincangan oleh para ilmuan, saya sedikit hairan kepada orang yang suka bertawassul kepada orang soleh apabila berdoa. Ini kerana di dalam al-Qur’an terdapat banyak contoh-contoh doa tetapi tidak ada doa bertawassul dengan menyebut nama orang soleh. Apa yang ada ialah doa bertawassul dengan nama-nama Allah yang baik.

Demikian juga di dalam al-Sunnah yang kesahihannya tidak diragukan, terdapat banyak contoh-contoh doa. Merujuk kepada tawassul, apa yang ada ialah doa bertawassul dengan amal soleh dan meminta orang soleh yang masih hidup untuk mendoakannya. Terdapat juga hadis sahih tentang seorang buta yang berdoa dengan bertawassul kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun tawassul ini hanya dengan Rasulullah yang ketika itu masih hidup, bukan selepas baginda wafat atau dengan manusia lain. Kes ini adalah khusus kepada Rasulullah dan atas kekhususan ini, Allah mengembalikan pandangan orang buta tersebut.

Dalam hadis di atas misalnya, anak muda berdoa terus kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan menyebut: “Ya Allah! Cukuplah (Engkau sebagai pelindung) aku daripada mereka dengan apa jua cara yang sesuai dengan kehendak Engkau.” Anak muda tidak berdoa dengan bertawassul kepada rahib yang mengajarnya, seperti menyebut: “Ya Allah, dengan kemuliaan rahib yang mengajarku. Cukuplah (Engkau sebagai pelindung) aku daripada mereka dengan apa jua cara yang sesuai dengan kehendak Engkau.”

Oleh itu apabila berhadapan dengan apa-apa bahaya atau mudarat, berdoalah kepada Allah mengikuti etika yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tinggalkan apa yang diperselisihkan, tinggalkan apa yang meragukan, tinggalkan apa yang ditinggalkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.