Kehilangan MH370 telah memberikan kesan yang mendalam kepada semua pihak. Ketika saya menulis artikel ini (26 Mar 2014), MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 masih belum ditemui. Jangkaan paling kuat berdasarkan satelit pengesan meletakkan pesawat B777-200 itu di bahagian selatan lautan Hindi, di bahagian Barat Australia.

Meskipun pesawat sebesar ini hilang daripada pengetahuan manusia, ia tidak hilang daripada pengetahuan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Malah apa jua yang lebih kecil atau lebih besar tidak pernah luput daripada pengetahuan Allah. Allah berfirman:

Tiada tersembunyi dari pengetahuan-Nya barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata. [Saba 34:03]

jurucakap

Jurucakap Allah

Dalam suasana semua pihak dari pelbagai negara sibuk mencari pesawat MH370, terdapat beberapa suara orang-orang yang melantik dirinya sebagai jurucakap Allah yang berkata: “Allah telah mengazab MH370 disebabkan minuman arak yang dihidangkan oleh pramugari-pramugari yang tidak menutup aurat”.

Suara-suara seperti ini memang kerap kedengaran apabila sesuatu kaum ditimpa musibah atau bala’. Contohnya apabila ada kaum yang diserang angin taufan, banjir besar, gempa bumi, keruntuhan bangunan dan kemarau panjang, mereka akan cepat berkata: “Itulah azab Allah kepada kaum tersebut disebabkan kemungkaran-kemungkaran yang mereka lakukan”.

Orang-orang yang berkata seperti ini menganggap diri mereka memiliki hubungan secara terus dengan Allah, lalu bercakap bagi pihak Allah. Seolah-olah Allah mengazab kaum tersebut atas sebab kemungkaran yang mereka lakukan. Padahal terdapat beberapa sebab Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan musibah kepada satu kaum dan ia tidak semestinya kerana kemungkaran yang mereka lakukan.

 

Sebab-Sebab Di Sebalik Musibah

Jika kita mengkaji al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, akan ditemui beberapa sebab Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan musibah kepada sesuatu kaum atau individu. Di antaranya ialah kerana Allah mencintai seseorang atau sekumpulan orang, lalu Allah menurunkan sesuatu ujian ke atas mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan:

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian. Sesungguhnya apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian. Maka sesiapa yang reda maka dia mendapat keredaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2396-2]

Berdasarkan hadis ini, penting untuk diperhatikan bahawa apabila sesuatu musibah menimpa seseorang atau satu kaum, jangan kita pantas mengatakan mereka sedang diazab oleh Allah. Ini kerana boleh jadi apa yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Allah mengasihi mereka dan menurunkan ujian sebagai bukti kasih sayang-Nya. Melalui ujiannya itu Allah mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada para hamba-Nya yang reda.

Kadangkala sesuatu ujian amatlah berat sehingga mirip kepada azab siksaan. Sekali lagi ia tidak bererti mereka ialah satu kaum yang derhaka sehingga Allah sedang mengazab mereka. Ini kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkehendaki kebaikan bagi sesuatu kaum, Dia mempercepatkan siksaan di dunia terhadap apa-apa kesalahan yang telah mereka lakukan sehingga dengan itu mereka bebas di akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

Apabila Allah mengkehendaki bagi hamba-Nya kebaikan, maka Dia akan menyegerakan seksa baginya di dunia manakala apabila Allah mengkehendaki bagi hambanya keburukan, maka Dia akan menangguhkan seksaan itu hingga Hari Kiamat kelak. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2396]

Musibah Sebagai Pengukur Keimanan

Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menurunkan musibah sebagai ujian bagi mengukur keimanan hamba-hamba-Nya. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui kadar iman setiap hamba-Nya, namun hikmah di sebalik ujian ini ialah supaya para hamba-Nya dapat menilai diri masing-masing sejauh mana kekuatan iman mereka. Firman Allah:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut 29:2-3]

Dalam sebuah ayat yang lain Allah berfirman: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman… [al-Baqarah 2:155]

 

Musibah Ke Atas Orang Soleh

Adakalanya Allah Subhanahu wa Ta'ala turut menurunkan musibah ke atas orang-orang yang soleh. Mereka diberikan musibah bukan kerana Allah cinta kepada mereka atau bukan kerana Allah ingin menguji keimanan mereka, tetapi kerana perbuatan-perbuatan mungkar oleh orang-orang di sekitar mereka. Kenapakah demikian? Sebabnya, mereka tidak berusaha untuk melarang kemungkaran itu padahal mereka lebih ramai dan lebih mampu untuk melarangnya. Perhatikan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berikut ini:

Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan seksaan. [Musnad Ahmad, no: 19230 dengan sanad yang hasan]

Jangan Menjadi Jurucakap Allah

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah. [al-Taghabun 64:11] Namun bukan semua musibah yang Allah turunkan adalah disebabkan perbuatan mungkar manusia. Ada musibah sebagai tanda kasih sayang Allah. Ada musibah sebagai ukuran keimanan manusia. Ada musibah bukan semata-mata kerana orang yang berbuat mungkar tetapi kerana orang soleh yang tidak melarang kemungkaran tersebut.

Mengatakan bahawa sesuatu musibah yang mengena sesuatu kaum sebagai azab Allah ke atas perbuatan mungkar mereka adalah satu kesalahan yang besar. Ini kerana hanya Allah yang mengetahui sebab di sebalik musibah tersebut. Apabila seseorang itu mengatakan musibah itu turun sebagai azab Allah, dia telah bercakap tentang Allah sesuatu yang dia tidak memiliki ilmu atau bukti tentangnya.

Perhatikan ayat berikut dan perhatikan tertib kesalahan di mana yang terakhir adalah yang paling berat: Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. [al-A’raaf 7:33]

Oleh itu marilah kita berhenti daripada memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Marilah kita menegur sahabat-sahabat agar berhenti daripada memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Sungguh menghairan apabila berlaku sesuatu musibah, umat belum Islam berlumba-lumba menghulurkan bantuan sementara segelintir umat Islam duduk bersilang kaki sambil berkata: “Itulah azab Allah kepada kaum sekian-sekian disebabkan perbuatan mungkar mereka”.