Di antara adab Islam yang kurang diperhatikan masa kini ialah saling mendoakan apabila bersin. Bersin bukan semata-mata kebiasaan manusia, tetapi memiliki nilai dalam agama. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila bersin, hendaklah memuji Allah dan merupakan kewajiban setiap muslim yang mendengarnya untuk mendoakannya. Adapun menguap, maka ia daripada syaitan dan hendaklah dia menahan semampu mungkin. Jika dia (menguap) sehingga mengeluarkan bunyi “haa…”, syaitan mentertawakannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5755/6223]

Apakah pujian dan doa yang patut diucapkan? Rasulullah menerangkannya dalam hadis berikut: Apabila salah seorang daripada kalian bersin lalu mengucapkan: “Alhamdulillah ‘ala kulli hal (segala puji bagi Allah atas setiap urusan)”, maka hendaklah orang di sekitarnya mengucapkan: “Yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu)”. Maka hendaklah orang yang bersin mengucapkan kepada orang di sekitarnya (yang mengucapkan doa tadi): “Yahdikumullah wa yushlihu balakum (semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian)”. [Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain; Shahih al-Jami’ al-Shogheir, no: 687]

doa1

Keinginan Didoakan

Agar adab saling mendoakan apabila bersin diamalkan oleh para pembaca, suka saya berkongsi sebuah hadis sebagai sumber pendorong (motivasi). Ia seperti berikut: Abu Musa radhiallahu 'anh menerangkan, orang-orang Yahudi biasa bersin di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan harapan baginda akan mendoakan untuk mereka “Yarhamukumullah (semoga Allah merahmati kalian)”. Akan tetapi baginda hanya mendoakan: “Yahdikumullah wa yushlihu balakum (semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian)”. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2663/2739]

Setelah mengemukakan hadis di atas, Imam al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih”. Syaikh al-Albani turut menilainya sahih. Ia juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 19586 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya.

Dalam hadis di atas, dapat diperhatikan bagaimana orang-orang Yahudi juga suka agar bersin mereka didoakan oleh Rasulullah. Tindakan orang-orang Yahudi ini sepatutnya menjadi pendorong untuk kita umat Islam untuk turut suka saling mendoakan apabila bersin, dengan lafaz-lafaz doa yang diajar oleh Rasulullah. Janganlah pula membaca doa, selawat dan zikir yang lain kerana ia akan mengubah apa yang sunnah menjadi bid’ah.

Terdapat beberapa pengajaran lain dalam hadis orang-orang Yahudi yang bersin di sisi Rasulullah. Ia seperti berikut:

 

Dibolehkan Mendoakan Orang Belum Islam Yang Masih Hidup

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendoakan untuk kaum Yahudi hidayah Allah dan kebaikan urusan mereka. Di sini terdapat dalil dibolehkan bagi orang Islam mendoakan orang belum Islam yang masih hidup. Di antara semua doa, yang paling utama ialah mendoakan agar mereka diberi hidayah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan:

al-Thufail dan para sahabatnya datang lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah kafir dan membangkang! Oleh itu berdoalah kepada Allah agar mereka mendapatkan kecelakaan.” Seseorang menambah: “Binasalah kabilah Daus!” Namun Rasulullah berdoa: “Ya Allah, hidayahilah kabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku)”. [Shahih Muslim, no: 4586/2524]

Dalam kisah di atas, kabilah Daus bukan sahaja enggan menerima dakwah Islam, tetapi mereka membantahnya. Jika perkara yang sama berlaku kepada kita pada masa kini, tentu sebahagian besar akan mengambil sikap yang sama dengan al-Thufail dan para sahabatnya – iaitu mendoakan kecelakaan dan kebinasaan mereka. Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengambil sikap yang berbeza, iaitu mendoakan agar Allah memberikan hidayah-Nya kepada kabilah Daus.

Dalam kisah di atas terdapat dalil bahawa kita bukan sahaja boleh mendoakan kaum belum Islam yang baik tetapi juga mendoakan mereka yang membantah Islam. Berbeza jika kaum itu menzalimi umat Islam, maka dibolehkan mendoakan kehancuran mereka demi keselamatan umat Islam yang dizalimi.

Kembali kepada hadis orang Yahudi yang bersin di sisi Rasulullah, di dalamnya terdapat dalil dibolehkan mendoakan kebaikan urusan orang belum Islam. Hikmah doa seperti ini ialah untuk mendekatkan mereka kepada Islam, agar hati mereka terbuka dan cenderung kepada Islam. Setiap manusia tentu akan merasa tenang dan gembira apabila mendengar orang lain meminta kebaikan urusannya sehingga akhirnya mendekati orang itu dan mengikuti pegangannya.

Walau bagaimanapun, dalam hadis di atas terdapat petunjuk bahawa tidak boleh mendoakan rahmat Allah kepada orang belum Islam. Orang-orang Yahudi yang bersin di sisi Rasulullah mengharapkan baginda mendoakan mereka: “semoga Allah merahmati kalian”. Namun Rasulullah tidak mendoakan itu, menunjukkan ia bukanlah sesuatu yang dibolehkan. Ciri seorang ahli sunnah ialah tidak melakukan apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah dalam urusan agama kerana itu sudah cukup sebagai hujah bahawa ia bukan bahagian daripada agama. Berbeza dengan ciri ahli bid’ah, mereka melakukan apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah dalam urusan agama dengan hujah: “Nabi tidak buat tetapi tidak kata jangan buat!”

 

Tidak Boleh Mendoakan Orang Bukan Islam Yang Sudah Mati

Ketahuilah bahawa keterangan di atas yang membolehkan doa kepada orang belum Islam hanya merujuk pada saat mereka masih hidup. Ini kerana ketika hidup, masih ada harapan untuk mereka mendapat hidayah Allah dan cenderung kepada Islam sehingga memeluknya. Atas harapan inilah, saya menggelar mereka sebagai kaum “belum” Islam.

Adapun sesudah mereka meninggal dunia, maka tidak boleh mendoakan kaum bukan Islam kerana sudah tidak ada kemungkinan lagi untuk mereka memeluk Islam. Urusan mereka diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Di antaranya ialah tidak boleh mendoakan keampunan kepada mereka sesudah meninggal dunia berdasarkan firman Allah:

Tidaklah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. [al-Taubah 9:113]

Termasuk apa yang tidak dibolehkan ialah mengucapkan kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia “Rest in peace (berehatlah dengan aman)”. Ucapan ini bertentangan dengan aqidah Islam. Ini kerana setiap orang yang meninggal dunia akan berhadapan dengan soal-jawab malaikat dalam kubur dan kemungkinan azab kubur. Maka bagaimana mungkin seorang Muslim menyatakan orang yang mensyirikkan Allah pada seluruh kehidupannya di dunia dapat berehat dengan aman dalam kuburnya?

Malah terhadap orang Islam yang telah mentauhidkan Allah ketika hidup di dunia, Rasulullah mengajar kita untuk mendoakannya setelah dikebumikan: Mintalah ampun bagi saudara kalian (yang meninggal dunia) dan mintalah kepada Allah agar dia tetap teguh, kerana sesungguhnya dia sekarang sedang disoal (dalam kuburnya).[Mustadrak al-Hakim, no: 1329; Shahih al-Jami’ al-Shogheir, no: 947]

Jika inilah doa kita kepada orang Islam selepas meninggal dunia, sudah tentu tidak munasabah lagi menyelishi aqidah yang sahih untuk dikatakan kepada orang bukan Islam sesudah dia meninggal dunia: “Rest in peace”.

Apa yang boleh dikatakan ialah “Inna lillah wa Inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami dikembalikan)”. Diharapkan ucapan ini, apabila disebut dalam bahasa yang difahami oleh semua yang terkesan dengan orang bukan Islam yang meninggal dunia itu, menjadi sumber dakwah kepada mereka.