Soalan 1: Anak Bermain Dengan Patung.

Saya ditegur oleh seorang rakan bila dia melihat anak saya bermain dengan patung 'ultraman' sebesar tapak tangan. Beliau berkata kita orang Islam tidak boleh memiliki patung sebegitu kerana malaikat tak masuk rumah. Mohon penjelasan.

 

Diana, Batu Pahat, Johor.

 

Jawapan.

Benar bahawa malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat patung-patung atau gambar lukisan makhluk hidup. Rasulullah bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat patung-patung atau gambar-gambar. [Shahih Muslim, no: 3948] Sebabnya bukanlah kerana malaikat tersebut takut kepada patung atau gambar, tetapi kerana tidak suka melihat manusia meniru dan membuat apa yang merupakan ciptaan Allah sahaja. 

 


Malaikat yang dimaksudkan di sini ialah malaikat rahmat, iaitu malaikat yang berlegar-legar mendoakan kita dan membisikkan kebaikan ke dalam hati atau fikiran kita. Adapun malaikat yang bertanggungjawab ke atas sesuatu urusan, seperti Malaikat Maut, maka mereka akan tetap masuk ke dalam rumah yang memiliki patung dan gambar.

 

Pengecualian diberikan kepada anak patung mainan kanak-kanak. Ini kerana A’isyah pada umur mudahnya bermain dengan patung-patung dan Rasulullah tidak mengalangnya. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 5665, A’isyah menerangkan:

 

Aku pernah bermain bersama anak-anak perempuanku (patung/dolls) dekat Nabi dan aku juga mempunyai teman-teman yang biasa bermain denganku. Apabila Rasulullah masuk, mereka bersembunyi daripada baginda, sehingga baginda memanggil mereka supaya kembali bermain bersamaku.

 

Oleh itu dibolehkan bagi anak anda bermain dengan patung ‘Ultraman’, ia tidak termasuk dalam kategori patung yang dijauhi oleh malaikat rahmat.

 

 


 

 Soalan 2: Haid Tidak Menentu.

Sejak mengambil ubat perancang, kitaran haid saya jadi tidak menentu. Jika darah saya sudah kering dan saya mandi wajib seperti biasa, pada sebelah petang ada lagi tompokan darah pada seluar dalam. Perlukah saya mandi wajib sekali lagi bagi menunaikan solat selepas menukar seluar dalam yang bersih? Adakah ini dianggap sebagai darah istihadah?

 

Jawapan:

Pertama sekali, tidak digalakkan mengambil ubat perancang kerana ia memiliki banyak kesan sampingan. Selain kitaran haid yang terganggu, ia boleh juga menyebabkan berat badan naik dan sikap ceria dan murung yang saling berganti (mood swing). Kitaran haid yang terganggu juga sering menyebabkan seorang isteri merasa tertekan kerana keliru antara suci dan berhadas, sehingga perlu mandi wajib berulang kali, tidak dapat solat dan puasa serta tidak dapat bersetubuh dengan suami. Selain itu ada juga beberapa kes di mana isteri yang mengambil ubat perancang sukar untuk hamil apabila tiba masanya mereka inginkan anak. Cara perancangan yang paling minimum kesan sampingannya ialah dengan menggunakan kondom.

 

Merujuk kepada kitaran haid yang tidak menentu, jika ia masih dalam tempoh haid anda yang biasa, maka ia tetap dikira sebagai haid. Jika ia di luar tempoh haid yang biasa, maka hendaklah diperhatikan ciri-ciri darah tersebut. Jika warna, kelikatan dan baunya sama seperti darah yang keluar ketika anda dalam tempoh haid yang biasa, maka ia adalah darah haid. 

 

Adapun darah istihadah, maka ia adalah darah penyakit yang keluar disebabkan oleh sesuatu kecederaan organ dalaman atau saluran darah. Ciri-ciri darah istihadah adalah umpama darah biasa yang keluar dari anggota yang cedera, umpama jari yang terkena pisau atau lutut yang berdarah ketika jatuh. Berdasarkan asal usul dan ciri-ciri darah istihadah ini, sukar untuk dikatakan bahawa darah yang keluar kerana mengambil ubat perancang kehamilan ialah darah istihadah. Melainkan ia adalah darah haid.

 

 


 

Soalan 3: Memegang Dan Membaca al-Qur’an.

Apakah hukumnya memegang dan membaca Al-Quran tanpa mengambil wuduk terlebih dahulu? Adakah sebarang dalil atau sebagainya yang memang menyatakan mengenai hukum tersebut dalam agama Islam?

Tasnim, Tampin, Johor.

 

Jawapan:

Terdapat dua hukum yang berbeza di sini, iaitu membaca dan memegang al-Qur’an.

 

Bagi membaca al-Qur’an, seperti membaca dari hafalan sendiri, melihat mushaf, membaca dari skrin komputer dan sebagainya, ia dibolehkan tanpa wudhu’. Ini merujuk kepada keterangan Ibn ‘Abbas yang pernah bermalam bersama Rasulullah. Beliau melihat apabila baginda bangun untuk solat malam, baginda membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Ali Imran. Selepas itu barulah baginda berwudhu’ dan solat malam. [Shahih al-Bukhari, no: 177]

 

Bagi menyentuh mushaf al-Qur’an, para ilmuan berbeza pendapat tentang hukum berwudhu’. Ada yang berpendapat wajib berwudhu’ berdalilkan firman Allah: (al-Quran yang) tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqi’ah 56:79-80] Berdasarkan ayat di atas, al-Qur’an tidak boleh disentuh oleh mereka yang berhadas, kerana orang yang berhadas bukanlah makhluk-makhluk yang bersih suci. Maka hendaklah berwudhu’ sebelum menyentuh mushaf al-Qur’an.

 

Namun ada yang berpendapat tidak wajib berwudhu’ bagi memegang mushaf al-Qur’an. Adapun ayat di atas, ia sebenarnya merujuk kepada para malaikat yang sememangnya merupakan makhluk-makhluk yang bersih suci. Ini kerana jika dirujuk kepada ayat tersebut sejak awal, ia membicarakan kedudukan al-Qur’an yang tersimpan di tempat yang terpelihara di langit, kemudian barulah diturunkan kepada Rasulullah:

 

Bahawa sesungguhnya itu ialah al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, (al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80]

 

Makhluk yang wujud di langit, di tempat al-Qur’an tersimpan dan terpelihara ialah para malaikat. Lebih dari itu, al-Qur’an diturunkan kepada Rasulullah bukan dalam bentuk mushaf tetapi melalui wahyu atau lisan yang dibacakan oleh malaikat Jibrail. Justeru ayat surah al-Waqiah di atas membicarakan tentang malaikat dan bukannya mushaf. Oleh itu ia bukanlah dalil mewajibkan wudhu’ bagi menyentuh mushaf al-Qur’an.

 

Di antara dua pendapat ini, kita boleh mengambil jalan pertengahan. Iaitu boleh memegang mushaf al-Qur’an tanpa wudhu’, namun adalah lebih utama jika memegangnya dengan wudhu’.