Soalan 1: Suami Jarang Di Rumah

Saya sudah berumahtangga hampir 4 tahun dan dikurniakan 2 orang cahayamata. Masalah dalam keluarga saya ialah suami saya jarang menghabiskan masanya di rumah. Apabila ditegur dia akan menengking saya dan ada kalanya sehingga tahap memukul. Anak-anak pula menangis apabila mereka menyaksikan perkara itu berlaku. Apabila saya mengajukan cadangan untuk pergi mendapatkan kaunseling di Jabatan Agama Islam, dia akan melenting dan memberitahu sekiranya saya berbuat demikian maka tiada apa-apa antara saya dan dia. Apakah nasihat yang boleh saya dapatkan supaya suami saya boleh berubah dan berlembut hati dengan anak-anak dan juga saya?

Jawapan:

Perkara di atas sebenarnya adalah sesuatu yang kerap berlaku, tanpa terhad kepada puan sahaja. Nasihat saya, puan mungkin boleh memerhatikan beberapa langkah berikut yang amat penting di mata suami tetapi seringkali terlepas pandang oleh para isteri:

Pertama: Jemput suami ke rumah. Biasakah berpesan kepada saudara-mara atau sahabat handai: “Jemputlah ke rumah!”? Sekarang cuba fikir, pernahkah sebut kepada suami: “Abang, jemputlah ke rumah!”? Di antara semua orang, yang paling patut kita jemput ke rumah ialah suami sendiri. Jemputan seperti ini akan menyebabkan suami merasa dialu-alukan untuk segera pulang ke rumah. Dia tidak akan membuat alasan umpama mesyuarat minit akhir atau over time.

Jika suami masih di pejabat misalnya, hantarlah SMS seperti berikut: “Terima kasih abang kerana bekerja keras untuk kami sekeluarga. Jemputlah balik nanti, untuk makan malam sayang masak lauk kegemaran abang. Kita makan bersama ya.” 

Biasakah berkata kepada tetamu yang akan pulang dari rumah: “Terima kasih kerana singgah. Nanti jemputlah lagi”? Sebenarnya ucapan penghargaan yang sama lebih patut diucapkan kepada suami, umpama: “Abang, terima kasih kerana meluangkan hari ahad ini bersama kami sekeluarga di rumah. Meski pun sekadar makan bersama dan menonton TV bersama, kami semua amat gembira”. 

 

Kedua: Sediakan makan dan minum. Orang-orang tua kita pernah berpesan: “Ikatlah suami dengan masakan.” Pesanan ini memang benar kerana orang lelaki memiliki selera makan dan minum yang tinggi. Antara sebab suami jarang-jarang di rumah ialah dia ke restoran kegemarannya untuk makan dan minum.

Oleh itu puan hendaklah belajar memasak dan berusahalah memasak yang terbaik untuk suami. Ia akan menjadi satu daya tarikan untuk suami meluangkan masa di rumah. Jangan harap suami akan pulang ke rumah jika menu makan malam hari ini ialah nasi goreng dan malam esok ialah nasi ikan kering. Pelbagaikan menu antara masakan Melayu, Cina, India (Mamak) dan Barat.

Selain itu jika suami suka minum kopi, belajarlah cara membuat kopi yang beraroma. Jika suami suka minum teh tarik, sediakan teh tarik yang mengalahkan gerai-gerai kesukaannya. Jangan hari-hari hanya air suam, suami pun akan jadi muram.

 

Ketiga: Rumah sebagai destinasi percutian. Rumah yang semak, kotor dan tidak tersusun bukanlah tempat rehat yang sesuai bagi sesiapa jua. Setelah letih ke pejabat dari awal pagi hingga lewat petang, suami inginkan tempat yang selesa untuk berehat pada malam hari. Setelah lesu bekerja dari Isnin hingga Jumaat, suami mendahagakan tempat yang tenang untuk berehat pada hujung minggu. Maka jadikanlah rumah sebagai destinasi suami berehat dengan penuh keselesaan dan ketenangan. Jadikan rumah umpama destinasi percutian sehingga suami suka dan kerap di sana.

 

Keempat: Jangan berleter kepada suami. Termasuk rumah sebagai destinasi percutian suami ialah, tidak ada isteri yang akan berleter kepadanya. Ini tidak bererti puan tidak boleh bercakap atau mengutarakan sesuatu masalah kepada suami. Apa yang patut dilakukan ialah menunggu waktu yang sesuai dan menyusun ayat serta perkataan yang sesuai. 

Satu contoh: “Abang, sayang tak laratlah nak guna vacuum cleaner ni. Boleh abang tolong, abanglah satu-satunya orang kuat kami sekeluarga”. Contoh lain: “Abang, boleh tolong letakkan sampah ni di rumah sampah luar sana? Sayang takutlah nak keluar malam-malam ini, bimbang ada lembaga hitam yang mengintai-intai di sebalik pokok tu.” 

Oleh itu boleh saja bercakap, berbicara atau meminta pertolongan suami. Namun hiasilah permintaan itu dengan pujian, sanjungan, penghargaan dan sedikit lawak jenaka.

 

Kelima: Antara anak dan suami. Satu hakikat yang tidak disedari oleh kebanyakan isteri ialah sebaik sahaja mereka memperoleh cahaya mata, perhatian mereka akan beralih daripada suami kepada anak-anak. Bahkan mungkin sahaja jika sebelum itu 100% perhatian diberikan kepada suami, kini hanya 10% perhatian yang diberikan kepada suami. Tidak ketinggalan ialah kekerapan melakukan hubungan seks yang semakin berkurangan kerana isteri sibuk dengan anak-anak.

Semua ini menyebabkan suami merasakan dirinya diabaikan isteri, tidak diperlukan lagi dan hanya menjadi khadam untuk membeli lampin anak. Perasaan ini menyebabkan suami lebih suka meluangkan masa bersama rakan-rakan lelakinya di luar rumah. Apa yang lebih mencabar, rakan-rakan lelakinya itu juga menghadapi masalah yang sama di rumah masing-masing. Justeru atas kesamaan ini, mereka sama-sama meluangkan masa di restoran, gerai, padang golf atau di tepi tasik memancing.

Justeru itu, hendaklah cuba membahagikan masa dan perhatian yang adil di antara suami dan anak-anak. Jika memerlukan bantuan suami dalam urusan anak-anak, ikutilah nasihat keempat di atas.

 

Keenam: Beri ruang kepada suami. Meski pun para isteri menyukai suami kerap di rumah, hendaklah tetap memberi ruang kepada suami jika mereka hendak keluar dan meluangkan masa dengan rakan-rakan mereka. Ingat! Lebih dikongkong suami di rumah, lebih ligat suami menghilangkan diri dari rumah.

 

Demikian beberapa nasihat yang dapat saya kongsikan agar suami lebih kerap di rumah. Nasihat Ketujuh, jangan putus asa berdoa kepada Allah agar suami lebih kerap berada di rumah. Usah sekadar berdoa “Ya Allah! Jadikanlah suamiku lebih kerap di rumah”, namun berdoalah juga: “Ya Allah! Tunjukilah aku bagaimana aku dapat menjadikan suami lebih kerap di rumah”. Selain itu, hendaklah diketahui bahawa semua langkah-langkah yang puan usaha agar suami lebih kerap di rumah merupakan satu amal soleh di sisi Allah. Allah tetap akan memberikan ganjaran kepada puan meski pun langkah-langkah tersebut masih tidak menunjukkan hasil yang positif di sisi suami.