Soalan: Nasib Kanak-Kanak Bukan Islam Di Akhirat

Beberapa bulan lepas saya merasa sedih dengan berita seorang kanak-kanak berumur 6 tahun bernama William yang hilang. Mayatnya beberapa hari kemudian ditemui di muara Sungai Klang. Saya terfikir, apakah nasib atau kedudukan kanak-kanak bukan Islam pada Hari Akhirat kelak?

 

Jawapan:

Dalam persoalan ini terdapat beberapa pendapat seperti berikut. Pertama: Ada yang berpendapat kanak-kanak kaum musyrikin (bukan Islam) masuk neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada ‘A’isyah bahawa beliau menyebut kepada Rasulullah berkenaan anak-anak kaum musyrikin. Baginda menjawab: Jika kamu hendak aku akan perdengarkan kepadamu jeritan mereka di dalam neraka” Namun riwayat ini adalah lemah (dha’if) dan tidak dapat dijadikan hujah. [Musnad Ahmad, no: 24561/25743 dan isnadnya dinilai dha’if oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya] Berkata Imam Ibn al-Jauzi: Hadis ini tidak sah. Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: Hadis ini sangat lemah.

Kedua: Ada yang berpendapat hukum kanak-kanak tersebut selari dengan keadaan ayah mereka. Jika ayah mereka musyrik, maka musyrik jugalah anaknya. Ini berdasarkan sebuah hadis sahih di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ditanya tentang kaum musyrikin penduduk suatu daerah yang diserbu lalu para wanita dan anak-anak keturunan mereka terbunuh. Baginda menjawab: “Mereka termasuk golongan mereka (kaum musyrikin)”. Dalam sebuah riwayat lain, baginda menjawab: “Mereka termasuk ayah-ayah mereka.” [Shahih al-Bukhari, no: 2790/3012]

Hadis di atas memang sahih, namun jawapan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merujuk kepada hukum dunia. [Fath al-Bari, syarah hadis no: 7047] Maksudnya, anak-anak tersebut dianggap termasuk kaum musyrikin sebagaimana ayah dan ahli-ahli keluarganya yang lain. Namun di Akhirat kelak ia tidak semestinya demikian. 

Ketiga: Ada yang berpendapat kanak-kanak kaum musyrikin termasuk golongan orang yang berada di atas tembok al-A’raaf yang memisahkan antara syurga dan neraka. Nasib mereka seterusnya ditentukan oleh Allah Subhanahu waTa'ala. Tembok ini disebut oleh Allah di dalam al-Qur’an: 

Dan di antara keduanya (syurga dan neraka) ada tembok al-A’raaf (yang menjadi) pendinding dan di atas tembok al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (daripada ahli-ahli syurga dan neraka) itu berdasarkan tanda masing-masing. Dan mereka menyeru ahli syurga (dengan memberi salam): “Salaamun ‘alaikum”. Sedang mereka sendiri belum lagi masuk syurga padahal mereka ingin sangat memasukinya. [al-A’raaf 7:46]

Keempat: Ada yang berpendapat nasib kanak-kanak kaum musyrikin diserahkan kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Justeru hendaklah kita menahan diri daripada memberikan apa-apa pendapat tentang nasib mereka di Akhirat kelak. Ini kerana apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ditanya tentang kanak-kanak kaum musyrikin (yang meninggal dunia), baginda menjawab: “Allah Subhanahu waTa'ala ketika menciptakan mereka, lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan.” [Shahih al-Bukhari, no: 1294/1383]

Kelima: Ada yang berpendapat kanak-kanak kaum musyrikin berada dalam syurga sebagai pelayan kepada para penghuni syurga. Inilah pelayan yang dimaksudkan dalam firman Allah: Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka. [al-Waqiah 56:17] Berkenaan para pelayan ini, disebut dalam sebuah riwayat: Anak-anak kaum musyrikin ialah pelayan para ahli syurga. [Musnad al-Bazzar, no: 7466] 

Riwayat ini diperselisihkan darjatnya. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menilainya lemah (dha’if) dan tidak dapat dijadikan hujah. [Fath al-Bari, syarah hadis no: 1383-1385]. Syaikh al-Albani menilainya sahih dalam Shahih al-Jami’ al-Shogheir, no: 1024.

Keenam: Ada yang berpendapat kanak-kanak kaum musyrikin berada di dalam syurga sebagaimana ahli-ahli syurga yang lain. Mereka bukanlah pelayan kepada para penghuni syurga.

Inilah pendapat yang paling benar kerana memiliki dalil dan hujah daripada hadis yang sahih. Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan kepada para sahabat mimpi yang baginda alami di mana dua orang malaikat membawanya melalui pelbagai suasana dan keadaan manusia. Salah satu suasana tersebut ialah sebuah taman yang amat indah (syurga), di dalamnya terdapat Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang dikelilingi oleh sangat ramai kanak-kanak yang meninggal dunia dalam keadaan fitrah (Islam). 

Lalu salah seorang daripada para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kanak-kanak kaum musyrikin?” Rasulullah menjawab: “Dan juga kanak-kanak kaum musyrikin (berada dalam taman tersebut bersama Nabi Ibrahim).” [Ringkasan hadis yang panjang, Shahih al-Bukhari, no: 6525/7047]

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas bahawa kanak-kanak kaum musyrikin (bukan Islam) yang meninggal dunia sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga bersama kanak-kanak kaum muslimin. Ini kerana kanak-kanak yang belum baligh tidak menanggung apa-apa tanggungjawab agama, maka mereka dikecualikan daripada sebarang dosa atau azab neraka. Demikianlah salah satu daripada sekian banyak kemurahan Allah Subhanahu waTa'ala yang maha pengasih lagi penyayang kepada para hamba-Nya.