Soalan:

Saya sekeluarga suka mendengar nasyid, selawatan dan qasidah. Anak saya yang di sekolah rendah sudah dapat menghafal beberapa daripadanya. Akan tetapi baru-baru ini ustazah di sekolahnya melarang nasyid, selawatan dan qasidah. Saya merasa hairan, kenapa bacaan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir kepada Allah, doa-doa kepada Allah dan bacaan selawat kepada Rasulullah dilarang pula? Bukankah ia sesuatu yang amat baik?

 

Jawapan:

Baik atau tidak sesuatu amalan tidak diukur berdasarkan kemasyhurannya atau kebaikannya di sisi orang ramai, tetapi diukur berdasarkan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Nasyid, selawatan dan qasidah memang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir kepada Allah, doa-doa kepada Allah dan bacaan selawat kepada Rasulullah. Akan tetapi ia diamalkan dengan cara berlagu sehingga orang yang mendengar atau turut menyanyi hanya mengikuti iramanya. Di sinilah letak kesalahannya.

Ayat-ayat al-Qur’an misalnya, baik dalam bahasa arab atau terjemahan, mendengar atau membacanya hendaklah memberi kesan yang mendalam ke sanubari seseorang. Ia pada mulanya melahirkan rasa takut kepada Allah, kemudian beralih menjadi tenang kerana ia mengingatkan kepada Allah. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang, yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka kerana mengingati Allah. [al-Zumar 39:23]

Zikir-zikir kepada Allah pula, adabnya bukanlah bersuka-suka dengan berlagu, tetapi seperti yang diajarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [al-A’raaf 7:205]

Apabila Allah menyuruh kita berzikir kepada-Nya, caranya ialah di dalam hati sementara mulut menyebutnya secara perlahan, bukan nyaring atau kuat seperti dalam nyanyian. Zikir dilakukan dengan penuh rendah diri dan takut kerana yang disebut-sebut dalam zikir tersebut ialah Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa. Semua ini tercapai melalui zikir yang penuh kekhusyukan dan ketundukan, bukan dengan nasyid dan qasidah.

Demikianlah juga doa-doa kepada Allah, ia bukanlah dengan irama dan dengan gaya yang dilatih berulang-kali depan kamera, yang dilakukan oleh artis-artis berjambang nipis, diwarnakan hitam dan memakai selendang hijau di bahunya. Akan tetapi ia seperti mana yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau ia tidak dimakbulkan) dan juga dengan perasaan mengharapkan (ia dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. [al-A’raaf 7:55]

Sekali lagi, berdoa kepada Allah adalah dengan perasaan rendah diri dan perlahan kerana yang diseru, diminta dan diadukan permasalahan ialah Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Besar. Kemudian doa tersebut diucapkan dengan perasaan bimbang kalau-kalau ia tidak dimakbulkan. Namun pada waktu yang sama hati tetap berharap ia dimakbulkan. Bagaimana mungkin empat ciri ini wujud pada orang yang berdoa sambil bernyanyi dalam nasyid dan qasidah?

Maha Suci Allah daripada sebarang kesamaan dengan makhluk-Nya. Namun sebagai analogi, bayangkan seorang pekerja yang ingin meminta hajat daripada ketuanya. Apakah dia meminta dengan bernyanyi-nyanyi atau dia meminta sebagaimana dalam ayat di atas – dengan penuh perasaan rendah diri, perlahan-lahan, bimbang tidak dipenuhi namun pada waktu yang sama sangat berharap agar hajatnya dipenuhi? Bagaimana pula apabila dia minta kepada Tuhan yang mencipta dan menguruskan alam ini?

Adapun berselawat, ia termasuk doa kepada Allah agar merahmati dan mengurniakan kebaikan kepada Rasulullah. Ia adalah doa yang diamalkan sebagaimana ayat 55 surah al-A’raaf di atas, bukan dengan nyanyi-nyanyian.

Selain itu, sebahagian nasyid, selawatan dan qasidah memiliki lirik yang menjurus ke arah syirik dan khurafat. Antara yang syirik ialah berdoa kepada Rasulullah atau kepada syaikh-syaikh tertentu, padahal doa hanyalah ditujukan kepada Allah. Antara yang khurafat ialah menjemput Rasulullah hadir atau menyakini kehadiran baginda dalam majlis nyanyian tersebut.

Walau bagaimanapun, diakui bahawa sebahagian nasyid ada yang memiliki lirik yang menganjurkan kebaikan, menegah keburukan dan memberi semangat ke arah beramal soleh. Nasyid seperti ini dibolehkan, namun hendaklah berhati-hati jika ia bercampur aduk dengan ayat-ayat al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa serta lirik yang mengandungi unsur syirik dan khurafat.

Memandangkan kebanyakan masyarakat umum sukar membezakan ciri-ciri nasyid yang kini banyak bercampur-aduk, apa yang paling baik lagi selamat ialah mempelajari dan menghayati al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah sebagai sumber yang menganjurkan kebaikan, menegah keburukan dan memberi semangat ke arah beramal soleh.