Soalan:

Baru-baru ini berlaku kematian kepada ibu yang bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan. Al-Fatihah kepada ibu yang meninggal dunia itu. Persoalan saya, apakah hukum ibu yang memilih untuk sengaja bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan, kerana saya perhatikan perkara ini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

 

Jawapan:

Apabila ada orang meninggal dunia, maka yang diajar oleh al-Qur’an dan al-Sunnah ialah mengucapkan takziah, umpama berdoa “Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya dan memberikan kedudukan mulia seorang ibu yang syahid”. Atau mengucapkan “Inna lillah wa inna ilaihi rajiun” yang bermaksud “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”  [al-Baqarah 2:155-157]

Membaca surah al-Fatihah kepada orang yang meninggal dunia atau menyebut “al-Fatihah” apabila mendengar berita kematian hanyalah kebiasaan masyarakat kita. Apa yang benar ialah membaca surah al-Fatihah sebagai jampi-jampian (ruqyah) kepada orang yang sedang sakit, bukan selepas dia meninggal dunia. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ada sahabat yang membacakan surah al-Fatihah kepada seorang ketua kabilah yang terkena sengatan kala jengking dan Allah menyembuhkannya. Perkara ini dikhabarkan kepada Rasulullah dan baginda mengatakan ia adalah tindakan yang betul. [Shahih al-Bukhari, no: 5295/5736]

Adapun hukum bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan, hadis sahih berikut menjadi rujukan. 'Atha` bin Abu Rabah berkata, Ibn Abbas pernah berkata kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita dari penduduk surga?” Jawabku: “Tentu.”

Dia berkata: “Wanita berkulit hitam ini, dia pernah menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata: "Sesungguhnya aku menderita sakit sawan dan auratku sering tersingkap (ketika diserang sakit sawan), maka berdoalah kepada Allah untukku.”

Baginda bersabda: “Jika kamu mahu, bersabarlah maka bagimu surga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Allah memberikan kamu kesihatan yang baik.”

Dia berkata: “Aku (memilih untuk) bersabar.” Wanita itu berkata lagi: “Namun berdoalah kepada Allah agar (auratku) tidak tersingkap.” Maka baginda mendoakan untuknya.” [Shahih al-Bukhari, no: 5220/5652]

Berdasarkan hadis ini, hukum mendapatkan rawatan ketika sakit adalah harus, terpulang kepada pilihan masing-masing. Wanita yang menderita penyakit sawan memiliki pilihan untuk merawat dengan Rasulullah di mana apabila Rasulullah mendoakan kesembuhan kepadanya, pasti Allah akan sembuhkannya. Wanita tersebut tidak perlu berjumpa dengan sesiapa lain untuk dapatkan rawatan, makan ubat-ubatan atau menunggu tempoh yang lama untuk sembuh. Meskipun demikian, dia memilih untuk bersabar kerana inginkan syurga Allah.

Ini kerana penyakit adalah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai satu bentuk ujian. Sesiapa yang sabar kepada ujian Allah, maka baginya ganjaran daripada Allah. Sesiapa yang tidak mampu bersabar, maka dibolehkan baginya mendapatkan rawatan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sering merawat para sahabat lain yang sakit sama ada dengan doa, jampi-jampian atau menyarankan ubat-ubatan seperti madu dan habbatus saudah.

Oleh itu ibu yang akan bersalin juga memiliki pilihan sama ada untuk bersalin di rumah tanpa apa-apa sokongan perubatan dan bersabar ke atas apa-apa kerumitan yang mungkin Allah turunkan sebagai ujian. Boleh juga bersalin di hospital dengan sokongan doktor dan alat-alat perubatan. Dalam perkara ini terdapat kelapangan dan keluasan, maka janganlah disempitkan dan disukarkan.

Walau bagaimanapun ibu yang memilih untuk bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan hendaklah terlebih dahulu menilai kemampuan dirinya untuk bersabar. Ini kerana boleh jadi seseorang itu pada awalnya bersabar, namun apabila diuji dengan kerumitan maka dia dan ahli-ahli keluarga mula merungut dan hilang kesabarannya terhadap Allah.

Selain itu ibu yang memilih untuk bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan dianjurkan mengikuti kelas-kelas persalinan supaya dia dan suami memiliki ilmu yang asas dalam perkara ini.

Tidak kurang penting ialah ibu tetap dianjurkan membuat pemeriksaan bulanan di hospital atau klinik. Jika terdapat tanda-tanda awal kerumitan sama ada bagi pihak ibu atau bayi, maka hendaklah bersalin dengan sokongan doktor dan perubatan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. [al-Nisa’ 4:29]

Kesimpulannya, hukum bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan adalah harus dengan syarat mampu bersabar dan sejak awal tidak ada apa-apa tanda kerumitan. Jika sejak awal sudah dikesan tanda-tanda kerumitan, maka hukum bersalin tanpa apa-apa sokongan perubatan berubah menjadi makruh atau haram, bergantung kepada kadar kerumitan tersebut.

Pun begitu, saya lebih cenderung agar para ibu memilih untuk bersalin dengan bantuan doktor dan perubatan. Pihak doktor dan hospital sentiasa sedia membantu meskipun mereka menghadapi pelbagai kekangan yang tidak kita fahami sebagai orang luar.