husband_n_wife_fighting.jpeg

Pemanduan ke pusat membeli belah Sunway Pyramid terasa begitu sunyi dan lama. Perjalanan yang sebenarnya lebih kurang 30 minit terasa seperti berjam-jam lamanya. Ikram yang sedang memandu memandang terus ke hadapan, tidak menoleh walau sekali kepada Emilia di sisi kirinya. Emilia pula hanya memandang keluar melalui tingkap kiri kereta, juga tidak menoleh kepada Ikram. Hari yang dirancang ceria beralih menjadi muram beberapa ketika sebelum mereka bertolak dari rumah. 

“Abang, dah pukul 7 malam. Milia dah siap ni!” laung Emilia kepada suaminya. Beliau sejak pukul 6.30 petang sudah mula bersiap untuk mandi, memakai pakaian dan mengikat tudung.

“Yalah, abang nak masuk mandi ni” jawab Ikram seperti merungut.

“Ehh! Baru nak mandi? Bukan ke kita dah rancang nak keluar pukul 7 malam?”

“Tak apa, kita sembahyang Maghrib di rumah, kemudian baru bertolak ke Sunway Pyramid.”

“Laa…sebelum ni kata kita sembahyang Maghrib di surau Subang Parade. Ehh! Bukankah kita rancang hendak ke pusat beli belah Subang Parade? Kenapa tiba-tiba jadi Sunway Pyramid pula?” tanya Emilia kehairanan sambil cuba mengawal kemarahan yang mula menaik.

 

“Bukan ke kita dah setuju untuk ke Sunway Pyramid? Subang Parade tu cadangan awal awak” jawab Ikram, nada suara turut menggambarkan kemarahan.

“Saya tidak pernah bersetuju dengan Sunway Pyramid!”

Sunway Pyramid!

What ever! Saya dah siap ni. Kenapa awak baru nak terhegeh-hegeh masuk bilik air?”

“Ahh!” balas Ikram sambil menghempas tutup pintu bilik air.

 

Bukan Hanya Ikram Dan Emilia.

Di atas adalah satu contoh pergaduhan di antara pasangan suami isteri. Ia adalah satu dari sekian banyak contoh pergaduhan yang lazim berlaku di antara suami dan isteri. Satu contoh adalah memadai kerana jika dikaji semua pergaduhan, akan ditemui beberapa faktor kesamaan di dalamnya.

Sebagai permulaan, dijemput para pembaca sekalian mengkaji contoh di atas dan cuba senaraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara Ikram dan Emilia serta bagaimana ia dapat dielakkan. Seterusnya bandingkan pula dengan penjelasan berikut ini:

1. Berpegang Kepada Janji.

2. Pengurusan Waktu.

3. Memandang Remeh Perkara Yang Penting.

4. Membuat Pengesahan.

 

Faktor pertama yang dapat kita kenal pasti ialah tidak berpegang kepada janji. Ikram dan Emilia telah berjanji untuk keluar pada pukul 7 malam, namun hanya Emilia yang berpegang pada janji sementara Ikram mengabaikannya.

Sama ada dalam urusan perkahwinan atau selainnya, kita umat Islam hendaklah teguh berpegang kepada janji. Jika ada sesuatu sebab janji tersebut tidak dapat ditunaikan, hendaklah segera meminta maaf dan membuat janji yang baru. Jangan mengabaikannya atau memandang ringan, sekali pun ia hanya janji di antara suami isteri atau anak-anak. Rasulullah bersabda: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga: apabila dia berbicara niscaya dia berbohong, apabila dia berjanji niscaya mengingkari, dan apabila dia diberi amanah niscaya dia berkhianat.” [Shahih Muslim, no 89]

Satu ciri yang saya perhatikan melekat pada kebanyakan orang Islam ialah tidak tahu mengurus waktu. Apabila membuat temujanji, amatlah sukar untuk menemui orang yang tepat pada masanya, apatah lagi yang lebih awal. Kebanyakannya memang lewat dan mereka bersikap seolah-olah tidak ada apa-apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sebagai seorang muslim, baik sesama warga kerja atau ahli keluarga, hendaklah kita bijak lagi efisyen menguruskan waktu. Termasuk di dalam pengurusan ini ialah berada tepat pada waktunya (right on time) apabila membuat sesuatu temu janji. Seandainya tidak dapat memenuhinya, hendaklah dimaklumkan seawal yang boleh sambil meminta maaf.

Apabila melakukan satu kesalahan, hendaklah segera meminta maaf. Jangan buat-buat tidak tahu atau meremehkannya. Perhatikan sikap Ikram yang enggan meminta maaf, sebaliknya memandang remeh dengan berkata “Tak apa…”.

Kerap kali sesuatu perselisihan kecil boleh berkembang menjadi pergaduhan besar kerana satu pihak memandang remeh apa yang dipandang penting oleh pihak lain. Emilia memandang penting untuk keluar tepat pukul 7 kerana malam itu merupakan suasana untuk mereka berdua meluangkan masa romantik bersama. Tambahan lagi, Emilia enggan lewat menunaikan solat Maghrib ketika sampai di pusat membeli belah itu kelak.

Sayang sekali, apa yang dipandang penting oleh Emilia dipandang remeh oleh Ikram. Ini akhirnya menaikkan kemarahan Emilia, sekali gus menaikkan kemarahan Ikram juga.

Perhatikan bahawa Ikram dan Emilia berselisih antara ke Subang Parade atau Sunway Pyramid. Ini berlaku kerana ketika berbincang, masing-masing tidak membuat pengesahan (confirmation) pusat membeli belah manakah yang mereka persetujui untuk pergi.

Oleh itu apabila merancang dan berbincang, hendaklah membuat pengesahan di penghujungnya, umpama:

“OK sayang, esok 7 malam kita pergi jalan-jalan makan malam ke Sunway Pyramid, solat Maghrib di surau di sana.”

 

Jadikan Rumahtangga Umpama Kerjaya.

Sebenarnya berpegang pada janji, menguruskan waktu, tidak meremehkan sesuatu dan membuat pengesahan adalah etika yang lazim kita laksanakan dalam kerjaya sehari-harian. Sayang sekali, etika yang baik ini kita abaikan di rumah di antara sesama ahli keluarga. Ini kerana ramai yang mengukur kejayaan di dalam kerjaya, bukan rumahtangga. 

Hakikatnya, kejayaan diukur dalam rumahtangga. Orang yang berjaya adalah orang yang dapat meneruskan kehidupan rumahtangganya sehingga akhir hayat dalam suasana romantik dan bahagia. Pergaduhan memang akan berlaku, namun selepas setiap pergaduhan masing-masing akan mengaudit diri sendiri “di mana silap aku” dan “bagaimana aku dapat memperbaikinya”.

Melalui rumahtangga yang bahagia, pasangan suami dan/atau isteri akan pergi ke tempat kerja dalam suasana yang ceria, tenang lagi bersemangat. Ini tentu saja memberi pengaruh besar untuk masing-masing mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing. Di sinilah terdapat formula yang penting: Kejayaan di rumah akan menghasilkan kejayaan di tempat kerja.