Soalan: 

Sempena Hari Raya Aidil Fitri sepanjang bulan September ini, saya bercadang membawa tunang saya untuk berhari raya di rumah ibubapa saya, juga agar mereka dapat saling bersalaman dan meminta maaf. Apakah etika yang perlu saya perhatikan agar rancangan saya ini selari dengan ajaran Islam?

 

 

Jawapan: 

Hajat agar tunang anda dapat berjumpa dengan ibubapa anda adalah sesuatu yang baik. Melalui perjumpaan-perjumpaan ini, ibubapa dan tunang anda dapat saling berkenalan dengan lebih baik, saling meyakini dan saling berkasih sayang kerana Allah. Beberapa etika yang perlu diperhatikan:

  • Hari Raya Aidil Fitri hanya sehari, iaitu pada satu Syawal. Ia bukannya sebulan penuh. Justeru boleh saja untuk tunang anda berjumpa dengan ibubapa anda pada bila-bila masa tanpa terhad kepada bulan September sahaja.
  • Meminta maaf adalah budaya yang baik, namun ia dilakukan oleh orang yang pernah membuat salah, sudah dikenal pasti kesalahannya dan dilakukan segera selepas membuat salah. Ia tidak ditangguhkan kepada saat Hari Raya sahaja, dilakukan setahun sekali sahaja atau sekadar menjadi ucapan manis dibibir. Oleh itu seandainya anda atau tunang anda pernah membuat salah atau mengecewakan ibubapa anda, maka segeralah meminta maaf.
  • Maksud “tunang” ialah seseorang yang sudah anda miliki perjanjian dengannya untuk bernikah pada tarikh yang dipersetujui. Tunang bukanlah pasangan hidup seperti suami isteri, justeru anda tidak boleh bersalaman dengannya atau membawanya secara berduaan ke rumah ibubapa anda mahupun ke mana-mana. Hendaklah tunang anda datang berseorangan atau ditemani oleh mahram yang dipercayainya.