Soalan:

Calon suami saya umurnya empat tahun lebih muda daripada saya. Saudara-mara di pihak saya tidak setuju dengan calon pilihan saya ini sementara ibubapa saya mendiamkannya. Mungkin juga mereka tidak setuju. Persoalan saya, adakah perbezaan umur ini menjadi syarat agama dalam pernikahan? Apakah yang patut saya lakukan dalam menghadapi masalah ini?

 

Jawapan:

Perbezaan umur tidak memiliki peranan dalam hukum atau syarat pernikahan di dalam Islam. Akan tetapi ia adalah faktor yang perlu diperhatikan oleh bakal pasangan suami isteri. Ini kerana umur lazimnya dikaitkan dengan kematangan dan pengalaman, maka suami yang lebih berumur akan lebih matang dan berpengalaman berbanding suami yang lebih muda. Sebagai isteri, sudah tentu anda inginkan suami yang matang dan berpengalaman untuk mengemudi bahtera rumahtangga bersama anda. Suami yang sebaya atau lebih muda kerap kali kurang bertanggungjawab, tidak matang, sedikit ilmunya dan tidak memiliki wawasan yang luas. 

Pun begitu, kita juga akui hakikat bahawa umur bukanlah pengukur yang tepat bagi menentukan kadar kematangan seseorang. Orang yang muda umpama Rasulullah misalnya, boleh saja bernikah dengan Khadijah yang lebih berumur daripadanya. Ini kerana meskipun pada umur yang muda, Rasulullah sudah mencapai tahap kematangan, pengalaman, ilmu, tanggungjawab dan wawasan yang melebihi lelaki yang lebih tua daripadanya.

Oleh itu nasihat saya kepada anda, hendaklah diperhatikan kadar kematangan, pengalaman, ilmu, tanggungjawab dan wawasan calon suami. Umur adalah salah satu ukuran, akan tetapi ia bukanlah penentu yang tepat. Jika diyakini calon suami anda memiliki kadar kematangan, pengalaman, ilmu, tanggungjawab dan wawasan yang secukupnya, maka langkah seterusnya ialah meyakinkan saudara mara dan ibubapa anda bahawa umur yang lebih muda bukanlah sesuatu yang perlu mereka bimbangi.