Soalan:

Apakah maksud “Sekufu”? Adakah ia merupakan antara syarat perkahwinan?

 

Jawapan:

Sekufu berasal dari perkataan bahasa Arab al-Kafa’ah yang bererti kesepadanan, kesetaraan dan kesamaan taraf. Sekufu bukanlah syarat sah perkahwinan akan tetapi merupakan salah satu faktor yang perlu diperhatikan ketika mempertimbangan sesuatu lamaran.

Para ilmuan Islam sebelum ini menerangkan bahawa sekufu atau tidak diukur dari beberapa aspek seperti agama, keturunan dan kekayaan. Namun pada pandangan penulis, bagi zaman moden kini hendaklah ditambah tiga aspek lagi iaitu pendidikan, kematangan dan kerjaya.

Sekufu perlu diperhatikan ketika mempertimbangan lamaran kerana ia boleh memainkan peranan dalam kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Sebagai contoh, jika seorang wanita dari kalangan bangsawan menerima seorang pekerja buruh sebagai suaminya, wujud kemungkinan pada kemudian hari ahli-ahli keluarga pihak isteri memandang rendah kepadanya. Meski pun isteri sudi menerima suami yang tidak sekufu dengannya, ahli keluarganya mungkin tidak dapat menerima suami tersebut dalam majlis-majlis yang melibatkan sesama ahli keluarga.

Apabila mempertimbangkan faktor sekufu atau tidak, beberapa poin penting yang perlu diketahui adalah:

 

Pertama: Aspek sekufu yang paling penting ialah agama.

Allah berfirman: Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [al-Nur 24:26]

 

Kedua: Pihak yang penting untuk memerhatikan faktor sekufu atau tidak ialah perempuan dan walinya.

Pihak perempuan hendaklah memerhatikan faktor ini ketika mempertimbangkan sama ada hendak menerima atau menolak seseorang calon suami. Ini kerana suami ialah ketua keluarga dan perempuan yang bakal menjadi isterinya hendaklah melihat sama ada ketua tersebut sesuai atau tidak untuk dirinya. 

Kembali kepada ayat 26 surah al-Nur di atas misalnya, hendaklah pihak perempuan memerhatikan sama ada calon suami adalah dari kalangan orang yang baik-baik atau sebaliknya. Jika perempuan yang baik menikahi lelaki yang jahat, besar kemungkinan dia akan hidup sebagai isteri yang dizalimi oleh suaminya.

Pihak lelaki hendaklah juga memerhatikan sama ada calon isteri adalah sekufu dengannya atau tidak. Namun ini tidaklah sepenting pihak perempuan kerana lelaki sebagai seorang suami sepatutnya akan memimpin dan membimbing isterinya sehingga dapat merapatkan jurang perbezaan di antara satu sama lain. 

 

Ketiga: Sekali lagi ditegaskan, sekufu atau tidak bukanlah syarat perkahwinan.

Jika disemak sejarah umat Islam pada zaman Rasulullah, kita akan dapati baginda menikahi wanita-wanita lain yang tidak sekufu dengan baginda dari aspek agama, keturunan dan kekayaan. 

Selain itu Rasulullah juga pernah menikahkan seorang wanita bernama Zainab binti Jahsy dari keturunan bangsawan dengan Yazid bin Haritsah, seorang budak hamba yang dibebaskan. Seorang sahabat Rasulullah yang banyak meriwayatkan hadis bernama Abdullah ibn Mas’ud juga memiliki seorang isteri yang kaya. Apabila isterinya ingin bersedekah, baginda menyuruhnya bersedekah kepada suaminya (Abdullah ibn Mas’ud) dan anak-anak-anaknya.

Oleh itu apabila pihak perempuan mendapati terdapat beberapa aspek pada diri calon suami yang tidak sekufu dengan dirinya, hendaklah difikirkan sama ada aspek-aspek tersebut dapat diterima atau tidak. Jika hendak dicarikan calon yang sekufu seratus peratus memanglah hampir mustahil.