Soalan:

Saya akan bernikah tidak lama lagi dan bercadang untuk melaksanakannya di masjid berhampiran rumah saya. Hanya saya tertanya-tanya, adakah apa-apa kelebihan untuk bernikah di masjid berbanding bernikah di rumah?

 

Jawapan:

Dalam persoalan ini terdapat sebuah riwayat yang bermaksud: “Umumkan (kepada khalayak) pernikahan ini dan jadikan (urusan akad) nya di masjid serta pukullah kompang.”

Berdasarkan riwayat ini, ada yang menganjurkan majlis akad nikah diadakan di dalam masjid. Namun ada juga yang tidak menganjurkannya kerana kekuatan riwayat ini diperbincangan di kalangan ahli hadis. Dalam erti kata lain, ini bukanlah riwayat yang sahih.

Oleh itu, melangsungkan majlis akad nikah di masjid atau di rumah adalah terserah kepada pilihan masing-masing. Boleh melaksanakannya di masjid kerana ia adalah tempat yang mudah dikenali oleh para hadirin, termasuklah oleh jurunikah dan para saksi. Dibimbangi jika dilangsungkan di rumah, jurunikah dan para saksi tidak menemui pula rumah tersebut sehingga tiba lewat dari masa yang dijanjikan.

Pun begitu, boleh juga dilaksanakan di rumah agar ia dapat dihadiri oleh semua pihak khususnya kaum wanita yang mungkin pada saat itu dalam keadaan uzur (sedang haid). Majlis akad nikah yang diadakan di rumah juga membolehkan rakan-rakan dari kalangan bukan Islam turut hadir dan menyaksikan cara kita (umat Islam) bernikah. 

Justeru jika diperhatikan secara saksama, terdapat kelebihan dan kekurangan melaksanakan akad nikah di masjid atau di rumah. Ia terserah kepada pilihan masing-masing. Hanya, tidak boleh berkeyakinan bahawa melaksanakan akad nikah di masjid adalah lebih utama dan diberkati, kerana tidak ada dalil agama yang sahih untuk menyokong keyakinan ini.