Soalan:

Saya seorang wanita yang berumur lewat dua puluhan. Memandangkan sukar untuk mencari calon suami yang soleh, saya berpendirian untuk hidup membujang di dunia ini dan fokus kepada beribadah sahaja di samping urusan harian yang lain. Moga-moga Allah mengurniakan syurga-Nya di Akhirat. Betulkah pendirian saya ini?

 

Jawapan: 

Beribadah dan beramal soleh, apabila dilakukan dengan ikhlas dan selari dengan sunnah akan membuahkan ganjaran syurga, dengan izin dan rahmat Allah. Akan tetapi apabila seseorang itu memiliki wasilah atau jalan khusus yang memudahkannya memperoleh keredhaan Allah dan mendapatkan syurga-Nya, sudah tentu ia lebih baik. Ini berdasarkan firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) yang boleh menyampaikan kepada-Nya; dan bersungguh-sungguhlah berusaha pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan. [al-Maidah 5:35]

Bagi seorang wanita, memiliki seorang suami dan berbakti kepadanya merupakan wasilah yang dapat memudahkan jalannya ke arah keredhaan Allah dan mendapatkan syurga-Nya. Ini kerana menunaikan hak suami bererti menunaikan hak Allah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang wanita tidak akan memenuhi hak Rabb-Nya (Allah) sehinggalah dia memenuhi hak suaminya. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1843/1853]

Berkenaan suami sebagai wasilah ke syurga, hadis berikut menjadi rujukan. Hushain bin Mihshan menerangkan bahawa saudara perempuannya pernah mendatangi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana sesuatu keperluan. Setelah selesai, baginda bertanya kepadanya: “Apakah kamu sudah bersuami?” Dia menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Bagaimana sikap kamu kepada suamimu?” Dia menjawab: “Aku tidak pernah mengurangi haknya kecuali apa yang tidak mampu aku lakukan.” Lantas baginda bersabda: “Perhatikanlah bagaimana hubungan kamu dengannya kerana sesungguhnya dia (suamimu) tidak lain adalah syurgamu dan nerakamu.” [Musnad Ahmad, no: 18233/19003 dengan sanad yang mendekati darjat hasan]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Para wanita kalian yang menjadi ahli syurga ialah yang banyak kasih sayangnya (amat penyayang), banyak anak dan banyak kembali kepada suaminya. Iaitu apabila suaminya marah, dia mendatanginya dan meletakkan tangannya di atas tangan suaminya dan berkata: “Aku tidak dapat tidur nyenyak sehinggalah engkau redha (kepadaku).” [Riwayat al-Nasa’e dan lain-lain, rujuk Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 287]

Dalam sebuah hadis lain yang masyhur, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan: Apabila seorang wanita (isteri) mendirikan solat lima waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (dari berzina dengan lelaki lain) dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu ingini.” [Musnad Ahmad, no: 1573/1661 dengan sanad hasan]

Perhatikan dalam hadis terakhir di atas, solat lima waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menjaga kemaluan daripada berzina dilakukan oleh semua wanita muslimat. Akan tetapi satu perkara yang dapat memudahkan seorang muslimat memasuki syurga, bahkan sehingga boleh memilih pintu yang disukainya ialah memiliki seorang suami dan taat kepadanya.

Kesimpulan daripada hadis-hadis di atas, memiliki seorang suami lalu taat kepadanya dan berbakti kepadanya, merupakan wasilah atau jalan yang dapat membawa seorang wanita kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya. Baik suami itu seorang yang sempurna, sederhana atau banyak kekurangan, dia adalah wasilah yang khusus lagi istimewa. Bahkan apabila seorang suami menyuruh isterinya melakukan perkara mungkar kepada Allah, maka bersabar terhadapnya, tidak mentaatinya dalam kemungkaran tersebut dan berusaha membetulkannya secara hikmah, ia tetap merupakan wasilah kepada Allah dan syurga-Nya.

Ingin ditambah, ada segelintir wanita yang membaca hadis-hadis di atas lalu berpaling darinya. Mereka berpandangan ia menghina dan merendahkan kedudukan wanita. Apa yang benar hadis-hadis tersebut mengangkat darjat wanita di sisi Allah. Ini kerana apa yang penting berkenaan kemulian atau kehinaan adalah ia diukur di sisi Allah dan bukannya di sisi masyarakat atau ego individu. Firman Allah: Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. [Fatir 35:10]