Sudah hampir setahun sahabat saya bernikah. Beliau dan suaminya melakukan semua urusan nikah mengikut garis panduan syarak dan mereka bernikah hanya kerana Allah. Namun kehidupan mereka selepas bernikah dipenuhi dengan pelbagai kesusahan seperti kewangan dan pekerjaan. Ini sehingga menyebabkan mereka tertanya-tanya dan mula putus asa kepada Allah. Apakah solusi bagi masalah sahabat saya ini?

 

Jawapan:

Apabila seseorang itu melakukan sesuatu kerana Allah, tidak cukup sekadar berkata “Saya melakukannya kerana Allah”. Sebaliknya hendaklah bersiap sedia menerima ujian daripada Allah kerana Allah ingin tahu apakah ucapan tersebut sekadar manis di mulut atau benar-benar teguh di hati.

Ini sepertimana orang yang berkata “Saya beriman kepada Allah”, lalu Allah berfirman: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut 29:2-3]

Merujuk kepada kehidupan suami-isteri, boleh saja bagi Allah jika Dia ingin memberikan kehidupan yang serba mudah lagi bahagia secara berterusan. Namun Allah sengaja enggan kerana Dia ingin menguji hamba-hamba-Nya.

Perhatikan dalam kes peperangan jihad fi sabilillah misalnya. Boleh saja Allah membinasakan semua musuh umat Islam. Namun sengaja Allah membiarkan musuh-musuh tersebut agar melalui mereka  Allah dapat menguji kadar keimanan dan kesungguhan hamba-hamba-Nya. Perhatikan ayat berikut: 

Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti. Demikianlah, apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah (membiarkan mereka kerana) hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. [Muhammad 47:04]

Oleh itu janganlah berputus asa kepada Allah. Sebaliknya yakinlah bahawa semua ujian yang Allah berikan adalah pada kadar keimanan setiap individu. Allah tidak akan menguji seseorang dengan sesuatu yang melebihi kemampuannya. Oleh itu maka (tetapkanlah keyakinanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disertai kemudahan. [al-Inshirah 94:5-6]