Soalan:

Membaca kisah Nabi Ibrahim dan Ismail yang lepas, saya perhatikan Nabi Ibrahim dengan mudah telah menyuruh Ismail menceraikan isterinya semata-mata kerana rungutan isteri tersebut berkenaan nasib kehidupan mereka. Rungutan tersebut memang tidak patut, akan tetapi ia juga tidak patut untuk dijadikan alasan menceraikan isteri. Bagaimana cara sebaiknya untuk memahami kisah dari hadis tersebut?

 

Jawapan:

Ini adalah soalan yang baik. Dalam kehidupan rumahtangga, suami berperanan mendidik isterinya. Setiap isteri sebagai manusia biasa tentu memiliki kekurangan dan kelemahan. Termasuk kekurangan dan kelemahan yang dimiliki oleh segelintir isteri ialah bersikap biadap, tidak bersyukur dan banyak merungut.

Dalam kebiasaan kehidupan suami-isteri, kebaikan pasangan tentu lebih banyak berbanding keburukan. Jika keburukan lebih banyak, nescaya sejak awal pasangan itu tidak akan menerima satu sama lain dan bernikah. Atas dasar inilah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: Janganlah seorang mukmin (suami) membenci mukminat (isteri), jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan reda dengan perangainya yang lain. [Shahih Muslim, no: 2672/1469]

Dalam kehidupan suami-isteri juga, suami hendaklah banyak bersabar dengan kekurangan isteri. Janganlah terburu-buru menceraikan mereka kerana boleh jadi di sebalik kekurangan tersebut terdapat kebaikan. Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak. [al-Nisa’ 4:19]

Pun begitu, segala sesuatu ada tahapnya. Seorang suami juga adalah manusia biasa yang memiliki batasan sejauh mana mampu mendidik isterinya dan bersabar terhadap perangai buruknya. Jika nasihat dan teguran telah diberikan namun isteri tetap dengan perangai buruknya, maka kesalahan tidak boleh diletakkan di atas bahu suami semata-mata.

Jika isteri masih tetap dengan perangai buruknya sehingga menjauhi ciri-ciri sakinah (ketenangan), mawaddah (saling berkasih sayang) dan rahmat daripada kehidupan berumahtangga, maka suami memiliki pilihan untuk menceraikannya dan mencari isteri baru. Suami tidak perlu menjadi hamba kepada isteri yang menonjolkan dan melazimkan perangai buruknya.

Atas nota yang sama, isteri juga boleh meminta cerai daripada suami yang menonjolkan dan melazimkan perangai yang buruk. Jika segala jalan pembaikan telah diusahakan dan suami tetap enggan berubah, maka tidaklah menjadi kesalahan bagi isteri menuntut cerai (fasakh) daripada suami.

Merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim yang menyuruh Ismail menceraikan isterinya, adalah selamat untuk dikatakan bahawa Ismail telah sekian lama mendidik dan menasihati isterinya. Namun isteri tersebut masih memiliki perangai buruk, yakni suka merungut dan tidak merasa cukup (qana’ah) dengan apa yang ada. Perangai buruk ini dia tonjolkan meskipun terhadap orang yang tidak dikenalinya. Ingat, isteri Ismail tidak mengetahui bahawa yang datang bertanya itu ialah Nabi Ibrahim, ayah mertuanya. Isteri sebegini layak diceraikan, demikianlah yang dinilai dan diperintahkan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya.

Oleh itu diulangi, kehidupan suami-isteri adalah saling mendidik, membantu dan menasihati. Setiap pasangan pasti memiliki kekurangan, namun tentu saja di sebalik itu ada banyak kelebihan. Dalam kes-kes terpencil apabila kekurangan berupa perangai-perangai yang buruk menjadi satu kelaziman dan ciri dominan, maka perceraian adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Suami tidak perlu menjadi mangsa keburukan isteri, isteri tidak perlu menjadi mangsa keburukan suami.