Soalan:

Saya akan bernikah tidak lama lagi dan masalahnya, saya merasa gementar apabila memikirkan saat-saat malam pertama selepas pernikahan. Ada beberapa rakan sebaya dengan saya yang telah bernikah dan mereka menghadapi masalah untuk melakukan hubungan seks. Masalah ini berpanjangan sehingga beberapa bulan lamanya.

Soalan saya, apakah masalah yang lazim dihadapi ketika pertama kali hendak melakukan hubungan seks dan apakah solusinya?

Terima kasih.

 

Jawapan:

Sekalipun kelihatan mudah, hubungan seks sebenarnya melibatkan banyak aktiviti fizikal dan psikologikal. Deria sentuhan, pergerakan otot dan pemikiran yang tenang merupakan antara aktiviti yang banyak berfungsi ketika melakukan hubungan seks. Semua ini bukan sekadar berfungsi secara berasingan, tetapi bersama-sama seolah-olah satu pasukan. Bagi semua ini berfungsi sebagai satu pasukan yang berjaya, tentu saja memerlukan latihan, pengalaman dan kesabaran. Oleh itu bukanlah satu kejanggalan jika pada awalnya sebahagian pasangan memiliki masalah dalam hubungan seks.

Bagi pihak suami, masalah yang lazim dihadapi ialah kegagalan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan zakar (erection). Jika suami tidak mempunyai masalah fizikal seperti penyakit jantung atau kencing manis, ia mungkin disebabkan oleh faktor psikologi seperti perasaan gementar, gemuruh (nervous), tekanan (stress) atau kemurungan (depression). 

Solusinya, jika menghadapi penyakit jantung atau kencing manis, hendaklah mendapatkan rawatan dan ubat yang sesuai daripada doktor. Jika menghadapi masalah psikologi, hendaklah lebih bertenang dan menganggap hubungan seks sebagai permainan bermesra-mesraan di antara suami dan isteri.

Kadangkala suami menghadapi masalah psikologi kerana cuba membandingkan dirinya dan bersaing dengan cerita-cerita daripada lelaki lain, kononnya mereka dapat mencapai kemuncak seks (climax) beberapa kali dalam semalam. Percayalah, cerita-cerita itu kebanyakannya dongeng sahaja. Ia sengaja dibuat-buat bagi menonjolkan kehebatan dirinya yang sebenarnya tidak seberapa.

Bagi pihak isteri pula, masalah yang lazim ialah kesakitan atau ketakutan ketika zakar akan memasuki vagina (penetration). Masalah ini menyebabkan otot-otot tertentu di bahagian bukaan vagina mengecut dan menghalang proses kemasukan daripada berlaku. Pengecutan otot di bahagian vagina semasa kemasukan ini dinamakan ‘vaginismus’ dan merupakan sesuatu yang berlaku di luar kawal (involuntary) isteri. 

Kadangkala masalah kemasukan (penetration) berlaku kerana penyakit fizikal seperti jangkitan pada saluran kencing, cyst dan radang pada saluran peranakan. Namun yang lebih kerap ialah faktor psikologi seperti gementar, gemuruh (nervous), takut pada kesakitan, sejarah penderaan seksual, sejarah keganasan rumahtangga, tidak mempercayai pasangan, tidak mencintai pasangan, kurang pendedahan tentang seks dan takut untuk hamil. Jika isteri menghadapi masalah-masalah ini, khabarkanlah kepada suami agar dia memahaminya.

Kegagalan hubungan seks yang disebabkan oleh penyakit fizikal boleh diatasi dengan mendapatkan rawatan dan nasihat dari doktor pakar. Masalah faktor psikologi pula memerlukan pengorbanan daripada kedua-dua pihak. Secara amnya, pasangan perlu memupuk kasih sayang dan keintiman emosi yang lebih tinggi agar masing-masing merasa serasi dan lebih tenang. Suami perlu lebih perlahan-lahan dalam bermain-main dengan isteri dan bersabar jika isteri masih belum sedia untuk menerima kemasukan.

Digalakkan memanjangkan tempoh bermain-main (foreplay) bagi mengurangkan perasaan gemuruh serta supaya pasangan merasa lebih selamat serta yakin. Perasaan-perasaan yang positif ini akan memudahkan proses pemberahian (arousal) dan membantu dalam memudahkan hubungan seks. Suami yang berahi secukupnya akan mudah untuk mengekalkan ketegangan zakar manakala isteri yang berahi secukupnya akan menghasilkan cecair pelincir (air mani) yang cukup bagi mengurangkan kesakitan ketika proses kemasukan.

Selain itu, kaedah-kaedah ketenangan (relaxation techniques) seperti pernafasan yang perlahan lagi mendalam serta merengangkan otot boleh juga membantu. Terdapat sebuah laman web yang khusus membantu masalah ini lengkap dengan nasihat-nasihat yang praktikal, iaitu www.vaginismus.com

Jika masalah ini berpanjangan, baik di pihak suami mahupun isteri, janganlah segan-segan untuk mendapat nasihat dan rawatan daripada pakar seks. Tidak perlu segan-segan kerana ini adalah sesuatu yang lazim dihadapi oleh banyak pasangan. Anda tidak keseorangan. Usah dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga. 

Lebih utama, jangan segan-segan berdoa kepada Allah, mengadu masalah yang dihadapi dan meminta petunjuk serta pertolongan. Usah malu-malu kepada Allah kerana seks merupakan salah satu tujuan perkahwinan serta dibicarakan dalam al-Qur’an dan Sunnah. Bahkan kita sendiri diajar untuk membaca doa Bismillah ketika hendak memulakan hubungan seks, menunjukkan ia sesuatu yang terpuji di sisi Allah. Doa lengkap yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebelum memulakan hubungan seks ialah: Dengan nama Allah; Ya Allah! Jauhilah kami daripada syaitan dan jauhilah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. [Shahih al-Bukhari, no: 4767/5165]