Soalan:

Dalam rangka persiapan untu berkahwin tidak lama lagi, seorang rakan mengingatkan saya daripada syirik mahabbah. Saya tidak sempat bertanya lebih lanjut berkenaan hal ini. Bolehkah dijelaskan apakah syirik mahabbah?

 

Jawapan:

Syirik mahabbah bererti syirik dalam kecintaan. Lebih mendalam, ia bermaksud mencintai seseorang lain bersama dengan mencintai Allah. Bahkan yang lebih dahsyat yang kerap berlaku ialah, mencintai seseorang melebihi daripada mencintai Allah.

Ketahuilah, apabila kita berikrar “Tidak ada tuhan melainkan Allah” (La ilaha illallah), ia tidak sekadar bermaksud tidak ada tuhan yang disembah selain Allah, tetapi juga bererti tidak ada tuhan atau apa-apa lain yang dicintai selain Allah. Syirik dalam urusan cinta adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman (mereka) bersungguh-sungguh cinta kepada Allah. [al-Baqarah 2:165]

Cinta bermaksud keterpautan hati (clinging of the heart) kepada sesuatu atau seseorang sehingga semua suka atau benci, gembira atau sedih, lapang atau sempit, izin atau larang, ingat atau lupa, suka atau duka, buat atau tidak, berpaksi kepadanya. Seolah-olah hati memiliki sepasang tangan yang memeluk erat apa yang dicintainya dan gerak hati itu pula berkadar terus dengan keadaan apa yang dipeluknya itu.

Oleh itu merujuk kepada ayat al-Qur’an di atas, “…tandingan-tandingan selain Allah…” yang dicintai itu merangkumi juga apa-apa yang dicintai oleh manusia seperti suami, isteri, anak-anak, pasukan bolasepak, penyanyi, artis, kereta dan haiwan peliharaan. Sebagai contoh, biasa saja bagi seorang suami mencintai isterinya sebagaimana dia mencintai Allah. Biasa saja bagi isteri mencintai anak-anaknya sebagaimana dia mencintai Allah. Bahkan ada orang-orang yang mencintai semua itu pada kadar yang lebih daripada cintanya kepada Allah. 

 

Cinta Orang Yang Beriman

Seterusnya Allah Subhanahu waTa'ala menceritakan keadaan orang-orang yang benar imannya, iaitu: Adapun orang-orang yang beriman (mereka) bersungguh-sungguh cinta kepada Allah. Perhatikan bahawa Allah tidak berfirman “lebih mencintai Allah” atau “paling mencintai Allah”. Sebaliknya Allah berfirman “Ashaddu hubba lillah” yang bermaksud “bersungguh-sungguh dalam mencintai Allah”. Ini adalah tahap yang jauh lebih tinggi berbanding “lebih mencintai Allah”.

Oleh itu hati orang yang benar imannya sentiasa dipenuhi dengan cinta kepada Allah sahaja. Semua suka atau benci, gembira atau sedih, lapang atau sempit, izin atau larang, ingat atau lupa, suka atau duka, buat atau tidak, berpaksi kepada Allah sahaja. 

Apa yang diredai Allah, itulah yang disukai hatinya. Apa yang dimurkai Allah, itulah yang dibenci hatinya. Apa yang Allah perintah, itulah yang diusahakannya. Apa yang Allah larang, itulah yang dijauhinya. Apa yang Allah halalkan, itulah yang dizinkan bagi dirinya. Apa yang Allah haramkan, itulah yang dilarang ke atas dirinya. Apa yang Allah beri, itulah yang menggembirakannya. Apa yang Allah ambil, itulah yang menyedihkannya. Akan tetapi kesedihan yang meningkatkan cintanya kepada Allah kerana dia tahu Allah menginginkan kebaikan di sebalik pengambilan tersebut.

Hati orang yang benar imannya tidak mencintai sesuatu atau seseorang selain Allah, bersama Allah. Dia tidak memiliki dua hati, yang pertama mencintai Allah, yang kedua mencintai isterinya. Dia tidak memiliki tiga hati atau empat hati, dengan hati yang ketiga mencintai pasukan bolasepak pilihannya dan hati yang keempat mencintai kucing peliharaannya. Ini kerana Allah Subhanahu waTa'ala tidak menjadikan dalam rongga dada seseorang itu dua hati, mahupun lebih dari itu. Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya. [al-Ahzab 33:04]

 

Cinta Kerana Allah

Orang yang benar imannya, mencintai apa yang Allah berikan kepadanya. Seorang suami yang beriman mencintai isterinya kerana itulah isteri yang Allah berikan kepadanya. Cintanya semakin bertambah apabila isterinya melakukan perkara-perkara yang diperintah serta diredai oleh Allah, merudum jika isterinya melakukan perkara-perkara yang dilarang atau dibenci oleh Allah. Cintanya kepada isteri tidak lain adalah buah dari cintanya kepada Allah. 

Demikianlah juga kecintaan seorang isteri kepada suaminya, kecintaan suami-isteri kepada anak-anak mereka, kecintaan anak-anak kepada ibubapa mereka dan kecintaan di antara sesama umat Islam. Semua itu tidak lain adalah hasil dari cinta mereka kepada Allah. 

Oleh itu orang-orang yang beriman boleh mencintai sesuatu atau seseorang selain Allah dalam jumlah yang tidak terhad. Akan tetapi cinta itu adalah kerana Allah semata, bertambah atau berkurang kerana Allah dan tidak sekali-kali menandingi cinta mereka kepada Allah.

 

Bagaimana Hendak Mencintai Allah?

Cinta ialah keterpautan hati kepada seseorang kerana kebaikan orang tersebut. Lebih baik orang itu, lebih kuat pautan hati kepadanya. Lawan kepada cinta ialah benci, iaitu penolakan hati seseorang kerana kejahatan orang tersebut. Lebih jahat orang itu, lebih kuat tolakan hati terhadapnya. Seolah-olah hati memiliki sepasang tangan yang dapat memaut dan menolak.

Apajua kebaikan orang lain, tidak ada tandingannya jika dibanding dengan kebaikan Allah. Allah memberikan kita kehidupan ini, nikmat Islam, rezeki, kesihatan dan pelbagai lagi yang tidak mampu kita hitung. Sekali sekala Allah menguji kita dengan kesusahan, bukan bererti Allah membenci kita tetapi menyayangi kita dan ingin memberikan peringatan kepada kita serta menarik kita agar lebih rapat kepada-Nya.

Oleh itu apabila seorang muslim ingin mencintai Allah, hendaklah dia memikirkan sekian banyak kebaikan Allah kepadanya. Hendaklah dia berfikir dan merenung secara jujur dan berhati-hati terhadap kecenderungan manusia untuk lebih mudah melihat kejahatan daripada kebaikan.