Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:

 

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. (al-A'raaf 7:204)

 

---------

Satu masa lalu saya suka memasang bacaan al-Quran. Qari kegemaran saya ialah Syaikh Abdullah al-Matrud. Saya ada koleksi kaset beliau, 30 buah = 30 juz.

Saya kerap memasang apabila memandu atau melakukan sesuatu urusan di rumah.

Saya anggap ia adalah perkara baik dan bagus.

Kemudian saya mendapat tahu ia bukanlah perkara baik dan bagus berdasarkan ayat 204 surah al-A'raaf di atas.

Ini kerana ketika memasang bacaan al-Quran tersebut, saya hanya mendengar secara baik dan memberi perhatian antara 10%-20%.

Selebihnya saya beri perhatian kepada pemanduan, urusan di rumah atau memikirkan hal-hal lain (fikir masalah rakyat dan negara kononnya).

Bahkan ia menjadi satu peremehan terhadap al-Quran kerana saya membiarkan ia terpasang sementara saya tidak mendengar dan memberi perhatian.

Justeru sejak itu saya tidak lagi memasang bacaan al-Quran.

Sahabat-sahabat lain bagaimana? Mungkin ada yang memasang al-Quran ketika memasak, mendodoikan anak tidur, melipat pakaian, membasuh kereta, menunggu komuter dan lain-lain lagi.

Betul atau tidak amalan ini, sama-samalah kita semak berdasarkan ayat 204 surah al-A'raaf di atas.

 

KHFA - 5 Januari 2016