Tazkirah hari ini:

 

Mu’awiyah bin Hayyadah radhiallahu 'anh bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

يَا نَبِيَّ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا كَانَ الْقَوْمُ بَعْضُهُمْ فِي بَعْضٍ؟ قَالَ: إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَلَا يَرَاهَا. قَالَ قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ إِذَا كَانَ أَحَدُنَا خَالِيًا؟ قَالَ: فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ مِنْ النَّاسِ.

“Wahai Nabi Allah! Berkenaan aurat kami, mana yang patut kami tutup dan mana yang patut kami biarkan terbuka?” Baginda menjawab: “Peliharalah aurat kamu kecuali dari isteri kamu atau budak kamu.”

Aku (Mu’awiyah) bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apabila di antara sesama jantina (lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita)?”

Baginda menjawab: “Jika kamu mampu untuk tidak memperlihatkannya kepada seorang pun, maka janganlah kamu memperlihatkannya.”

Aku (Mu’awiyah) bertanya lagi: "Wahai Nabi Allah, bagaimana apabila salah seorang dari kami bersendirian?”

Baginda menjawab: “Maka Allah lebih berhak untuk dia merasa malu darinya berbanding sesama manusia.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2718/2794]

 

----------

Hadis ini menerangkan sifat terpuji orang yang menutup auratnya, meskipun apabila bersendirian atau sesama jantina.

Sebahagian ilmuan menerangkan bahawa aurat yang patut ditutup ialah kemaluan depan dan belakang sahaja.

Saya berbeza pendapat, kerana apa yang dikatakan itu (kemaluan depan dan belakang) adalah terlalu minima untuk seseorang itu merasa malu terhadap Allah.

Apatah lagi dalam kehidupan ini, yang melihat aurat kita bukan sahaja manusia, tetapi makhluk ghaib seperti jin syaitan. Firman Allah:

 

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ.

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. [al-A’raaf 7:27]

 

Oleh itu saya berpendapat, apabila bersendirian atau sesama jantina, yang lebih utama ialah menutup aurat dari leher sehinggalah ke kaki, yakni dengan memakai baju dan seluar. Sebesar mana baju itu, selabuh mana seluar itu terserah kepada budi bicara dan perasaan malu masing-masing.

Sejak dua-tiga minggu lepas, cuaca memang amat panas. Terasa bahangnya sekalipun pada waktu malam dan pagi. Dalam cuaca panas ini, mungkin ada yang sekadar memakai seluar dalam mini apabila bersendirian atau sesama jantina di bilik asrama atau rumah sewa. Moga hadis di atas menjadi peringatan kepada kita semua.

-------

Dalam bab ini terdapat sebuah riwayat lain:

 

إِيَّاكُمْ وَالتَّعَرِّيَ فَإِنَّ مَعَكُمْ مَنْ لَا يُفَارِقُكُمْ إِلَّا عِنْدَ الْغَائِطِ وَحِينَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى أَهْلِهِ فَاسْتَحْيُوهُمْ وَأَكْرِمُوهُمْ.

Janganlah kalian telanjang kerana sesungguhnya bersama kalian ialah (malaikat) yang tidak berpisah dari kalian kecuali ketika buang air besar dan ketika seorang lelaki menyetubuhi isterinya. Oleh itu malulah kepada mereka dan muliakanlah mereka. [Sunan al-Tirmizi, no: 2724/2800]

 

Riwayat ini darjatnya dha'if. Jika hendak menyampaikannya sebagai nasihat, hendaklah dijelaskan darjatnya.

 

KHFA - 15 Januari 2016