Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.:

 

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.

Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). [Ibrahim 14:34]

 

------------

Masa yang ada dalam penerbangan semalam saya manfaatkan membaca sedikit al-Quran.

Terhenti pada ayat di atas.

Saya teringat kepada SEBAHAGIAN rakan kerja saya yang asyik merungut tentang majikan. Jika ada penerbangan 8 jam, maka 8 jam itu dimanfaatkan untuk merungut dari A ke Z.

Seolah-olah tiada langsung nikmat Allah melalui majikan itu.

Seolah-olah tiada yang lebih dibenci di alam ini melainkan majikan itu.

Akan tetapi apabila majikan itu mengalami masalah kegawatan ekonomi dan terpaksa membuang sebahagian pekerja, orang yang sama merungut lagi.

Padahal jika tiada langsung kebaikan dan nikmat Allah pada majikan itu, kenapa tidak bergembira dan berhijrah ke majikan yang lain?

Memang, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

Perkara ini tidak terhad kepada rakan-rakan sekerja saya. Jika bertemu dengan rakan-rakan lain dalan kerjaya yang lain, hampir setiap orang ada saja rungutan mereka terhadap majikan masing-masing.

Perkara ini juga tidak terhad kepada urusan antara pekerja dan majikan. Tetapi meluas kepada pelbagai aspek lain seperti antara rakyat dan pemerintah, antara suami dan isteri, antara anak dan ibubapa.

Ayuh sahabat-sahabat semua, kita menghitung nikmat yang Allah berikan melalui pemimpin, majikan, pasangan dan ahli keluarga. Tentu amat banyak sehingga tidak terhitung.

Pasti saja ada perkara-perkara yang kita tidak puas hati. Maka salurkanlah ketidakpuasan itu melalui jalan yang sepatutnya.

--------

Dalam permulaan ayat di atas Allah berfirman: Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.

Hendaklah kita yakini bahawa pemberian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk.

Ada yang Allah tangguhkan, ada yang Allah ganti dengan sesuatu lain yang lebih baik dan ada yang Allah tahan kerana mengetahui ia tidak baik untuk kita.

Justeru kita tetap bersyukur dengan apa jua yang Allah beri dan tidak beri.

 

KHFA - 20 Januari 2016